SHAH ALAM – Tindakan seorang lelaki etnik Rohingya melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya mengundang padah apabila berjaya ditahan orang awam dalam kejadian di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16 di sini pada Khamis.
Menerusi perkongsian video tular di media sosial, beberapa individu dilihat mengejar lelaki terbabit sebelum berjaya menahannya tidak jauh dari lokasi kemalangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang itu melibatkan sebuah motosikal ditunggang lelaki Rohingya dan sebuah lagi motosikal yang dinaiki seorang wanita tempatan bersama anak lelakinya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu datang dari arah Padang Jawa dipercayai membelok ke kanan menuju ke sebuah pusat komersial sebelum sebuah motosikal dari arah bertentangan melanggar bahagian kiri motosikal berkenaan.
"Anak lelakinya yang membonceng pula mengalami kecederaan di kepala dan telah menerima rawatan serta dipantau di wad Hospital Shah Alam selama sehari sebelum dibenarkan pulang pada Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan beberapa individu menahan seorang lelaki Rohingya yang dipercayai melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Padang Jawa.