PEMAIN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Roslie Razeeq Danial meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan acara perseorangan lelaki Pusingan Kedua Kejohanan Badminton Kebangsaan BAM Bawah 21 Tahun (B-21) 2026 di Dewan Badminton Pahang BA, di Kuantan di sini.
Naib juara edisi lalu yang kini berusia 19 tahun itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Kuala Lumpur, Jun Sheng Khoo 15-8, 15-9 dalam tempoh 26 minit.
Kemenangan tersebut melengkapkan permulaan sempurna buat pemain pilihan 3/4 itu selepas sebelum ini membelasah wakil Selangor, Aaron Lee Fu Seng 15-1, 15-4 dalam aksi pertamanya, susulan menerima kemenangan percuma pada kempen pembukaan, dua hari lalu.
Kemenangan itu menyaksikan Roslie Razeeq kini dijadual berdepan rakan sepasukan dari BAM, Khoo Jin pada pusingan 16 terbaik.
Khoo Jin pula mengesahkan kemaraan selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan seorang lagi pemain kebangsaan, Derrick Leung Jin Wen. Selepas tewas 8-15 pada set pembukaan, beliau mengubah rentak permainan sebelum menang dua set berikutnya 15-6, 15-5.
Sementara itu, pilihan utama merangkap juara bertahan, Tan Kean Wei turut meneruskan kemaraan apabila menewaskan pemain Selangor yang juga pilihan 17/32, Au Wei Shan 15-11, 15-8 dalam masa 30 minit.
Pemain BAM itu akan membuat perhitungan dengan wakil Johor, Gavin Ng Jing Yi bagi memburu tempat ke suku akhir.
Pilihan kedua kejohanan dari Johor, Tan Jia Le turut tidak berdepan masalah apabila menewaskan wakil Kuala Lumpur, Liew Tan Hao 15-10, 15-10 dan akan bertemu pemain BAM, Lim Boon Le pada pusingan 16 terbaik.