SEPANG – Kelicikan sindiket menyorokkan 4,760 katrij cecair rokok elektronik (vape) pelbagai perisa buah yang mengandungi dadah dalam kerangka unit pemprosesan pusat (CPU) komputer untuk diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan baru-baru ini.
Rampasan dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10.50 pagi pada 10 Jun lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, pemeriksaan telah menemukan dan merampas enam kotak berbalut plastik hitam di Zon Perdagangan Bebas KLIA.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 4,760 katrij cecair vape yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.
"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.19 juta. Modus operandi sindiket ialah menggunakan perkhidmatan kargo dengan menyembunyikan barangan tersebut dalam 'casing' CPU bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki alamat pengirim bagi barangan terbabit adalah palsu.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan tiga individu terdiri daripada ejen penghantar serta pihak kurier telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
"Kesemua barang kes telah dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa JKDM KLIA untuk disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Jelasnya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, dadah, minuman keras, mercun dan lain-lain dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang berhampiran.