SEPANG - Kemasukan 72 unit pelayan (server) mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) canggih tanpa permit bernilai hampir RM53 juta di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dibongkar baru-baru ini.
Rampasan dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA kira-kira jam 4.30 petang, 5 Jun lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, siasatan awal mendapati 'server' tersebut akan dieksport semula ke sebuah sebuah negara di asia.
Menurutnya, modus operandi yang dikesan ialah server terbabit diikrar sebagai komponen komputer bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Sindiket juga menggunakan laluan Malaysia sebagai destinasi aktiviti transit bagi memastikan tiada sebarang sekatan semasa pengeksportan server ke destinasi negara seterusnya.
"Dipercayai server bernilai RM52.92 juta termasuk duti dan cukai terbabit datang dari sebuah negara asia," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pengawal Perdagangan Strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), M Vimala.
Zulkifli berkata, kes masih dalam siasatan dan seorang individu telah ditahan untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, semua server yang mengandungi 'advance AI chip' tersebut disyaki tertakluk kepada transaksi melibatkan barang tidak tersenarai (unlisted items) dan aktiviti terhad (restricted activity) di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.
"Mana-mana orang yang berhasrat untuk mengeksport, memindah kapal atau membawa masuk sebagai transit 'advance AI chip' yang telah dikategorikan hendaklah memaklumkan kepada Sekretariat Perdagangan Strategik (STS) MITI sekurang-kurangnya 30 hari sebelum aktiviti tersebut," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010.