CARACAS - Seorang wanita kelihatan terdesak apabila sanggup menggali runtuhan bangunan dengan tangan kosong bagi mencari anaknya yang dipercayai terperangkap di bawah timbunan konkrit.
Amparo del Giudice antara mangsa bencana gempa berkembar yang nekad melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sendiri ketika ramai mangsa lain masih belum ditemui.
Di lokasi terjejas gempa, orang ramai membantu antara satu sama lain untuk mencari ahli keluarga yang tertimbus selepas lebih 230 dilaporkan terkorban manakala kira-kira 4,300 cedera setelah gempa kuat 7.2 dan 7.5 skala Richter menggegar utara Caracas pada Rabu.
Di sebalik tragedi itu, muncul kisah menyentuh hati apabila seorang wanita dilaporkan melahirkan bayi di tengah-tengah runtuhan ketika usaha SAR giat dijalankan.
Komuniti terkesan bencana itu di negeri La Guaira turut menyuarakan kekecewaan terhadap kelewatan operasi pihak berkuasa memandangkan peluang menyelamat mangsa yang masih hidup semakin tipis.
"Lebih ramai anggota penyelamat termasuk pasukan tentera diperlukan. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak alat untuk mengangkat sisa konkrit.
"Suara sayup mangsa yang merayu bantuan dapat didengari, namun kami tidak berdaya untuk membantu," kata Dani Rizo, 48.
Sebagai tanda solidariti kepada Venezuela, bantuan antarabangsa seperti pasukan pakar bersama unit anjing pengesan dan peralatan dari beberapa negara telah mula dikerahkan ke lokasi terjejas teruk.
Selain itu, dana kecemasan dan penghantaran bekalan bantuan penting turut disalurkan kepada mangsa bencana tersebut.
Ketika ini, kebanyakan penduduk yang berlindung di kawasan terbuka seperti ruang parkir masih takut untuk pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang dengan gempa susulan.
Bencana itu menjadi cabaran terbaharu pentadbiran Presiden interim, Delcy Rodriguez yang bertindak segera mengumumkan dana pemulihan berjumlah AS$200 juta (RM818 juta) untuk hospital dan bangunan kediaman yang musnah. - Agensi