Kerajaan akan bangunkan perumahan penjawat awam dengan kadar segera - PM

Iklan
ALOR GAJAH, 24 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) Melaka, hari ini. -fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

DENGKIL -  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membangunkan perumahan bagi penjawat awam dengan kadar sewa lebih rendah sebagai usaha menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ini kerana beliau mendapati penjawat awam menghadapi masalah serius berkaitan sewa rumah ketika melakukan lawatan ke beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

"Kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam dengan sewa murah supaya dia dapat sewa dengan kadar yang murah.

"Jadi ia tidak membebankan keluarga. Ini langkah-langkah kita ambil, kita akan segerakan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil di sini hari ini.

Iklan

Anwar berkata, meskipun kerajaan telah menaikkan gaji penjawat awam, isu kadar sewa yang meningkat tetap ada di beberapa negeri berkenaan.

"Walaupun kita naikkan gaji mereka antara 15 (hingga) maksima 30 peratus, tetapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, tidak dapat menampung kadar sewa yang meningkat," katanya.

Iklan

Perdana Menteri berkata, tanah milik kerajaan telah dikenal pasti untuk digunakan bagi pembangunan perumahan berkenaan.

"Sama ada untuk kastam atau polis, sebaik saja ada ruang, kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam," katanya.

Terdahulu, Anwar menyantuni kira-kira 1,200 jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang diimamkan oleh Muhammad Asyraf Kamaluddin.- Bernama