JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM52 juta kepada 2,400 usahawan di Johor bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu.
Jumlah itu meletakkan Johor sebagai negeri penerima pembiayaan TEKUN ketiga tertinggi di Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian itu membuktikan Johor terus menjadi antara negeri yang diberi perhatian dalam usaha memperkukuh usahawan mikro dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
"Ia sekali gus membuktikan golongan itu memainkan peranan penting dalam memacu aktiviti keusahawanan serta pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama kira-kira 400 usahawan TEKUN Johor baru-baru ini.
Menurutnya, penerima pembiayaan TEKUN di Johor majoritinya melibatkan sektor perkhidmatan dengan 1,183 usahawan, diikuti sektor peruncitan (669), pembuatan (260), kontraktor kecil (234) serta pertanian dan perusahaan asas tani (54).
Katanya, majoriti usahawan TEKUN terdiri daripada usahawan mikro dan komuniti yang menjadi antara tulang belakang ekonomi rakyat.
"Keadaan ini selari dengan landskap perusahaan negara apabila hampir 80 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia terdiri daripada perusahaan mikro.
"Saya merakamkan penghargaan kepada semua usahawan TEKUN yang terus komited membangunkan perniagaan, meningkatkan kesejahteraan keluarga serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara," katanya.
Jelasnya, pembiayaan TEKUN bukan sekadar menyediakan modal perniagaan, malah membuka peluang kepada usahawan meningkatkan penggunaan teknologi, memperkukuh keupayaan perniagaan serta meningkatkan produktiviti.
"KUSKOP menyediakan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh merangkumi pembiayaan mikro melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), selain pembiayaan pertumbuhan menerusi SME Corp Malaysia, SME Bank serta Bank Rakyat.
"Selain pembiayaan, kementerian turut menyediakan latihan dan pembangunan kapasiti melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta pelbagai agensi lain di bawah kementerian," katanya.
Steven Sim berkata, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), penambahbaikan infrastruktur serta kemasukan pelaburan baharu meletakkan Johor pada kedudukan strategik sebagai hab pertumbuhan baharu negara.
"Perkembangan ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk berkembang menjadi perniagaan yang lebih besar, produktif dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa," katanya.