Pelajar IPT buat maksiat berdepan tindakan

Iklan
Muhammad Syafiq bersama pelajar selepas ceramah bertajuk Anda Bijak Jauhi Maksiat kepada kira-kira 2,200 mahasiswa baharu PUO di sini pada Rabu.

IPOH – Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang didapati melakukan kesalahan di bawah undang-undang syariah boleh dikenakan tindakan seperti pesalah dewasa selain berdepan tindakan disiplin oleh institusi pengajian masing-masing.

Penyelaras Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Muhammad Syafiq Abdul Hamid berkata, tindakan disiplin itu termasuk kemungkinan diberhentikan atau dibuang daripada pengajian bergantung kepada peraturan yang ditetapkan institusi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Anda Bijak Jauhi Maksiat kepada kira-kira 2,200 mahasiswa baharu Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada Rabu seperti dikongsikan menerusi Facebook Bahagian Penguatkuasaan JAIPk.

Muhammad Syafiq (kanan) menyampaikan ceramah bertajuk Anda Bijak Jauhi Maksiat kepada kira-kira 2,200 mahasiswa baharu di PUO di sini pada Rabu.

Iklan

Katanya, pelbagai kesalahan syariah yang boleh menjejaskan maruah diri serta masa depan penuntut diterangkan kepada peserta.

"Antara kesalahan yang dibincangkan termasuk perbuatan tidak sopan, khalwat, bersekedudukan, persetubuhan haram, melacurkan diri dan beberapa kesalahan lain yang diperuntukkan di bawah undang-undang syariah.

Iklan

"Program ini bukan sahaja memberi penerangan mengenai kesalahan syariah, malah bertujuan menyampaikan nasihat serta peringatan supaya mahasiswa sentiasa menjaga tingkah laku dan akhlak demi masa depan yang lebih cemerlang," katanya.

Beliau berharap penganjuran ceramah seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai kepentingan mematuhi undang-undang syariah serta mengamalkan gaya hidup berakhlak dan bertanggungjawab sepanjang tempoh pengajian.

Ceramah yang berlangsung selama dua jam bermula jam 9 malam itu diadakan atas jemputan rasmi pihak PUO sebagai sebahagian daripada program pendedahan awal kepada mahasiswa baharu mengenai aspek perundangan syariah dan pembentukan sahsiah diri.