Inovasi rakit kecemasan, penyelamat barangan elektrik ketika banjir

Iklan
Penduduk bergotong royong membina rakit kecemasan. Gambar atas Dr Sao Chin dan Ibrahim FOTO: ADILA SHARINNI WAHID

PASIR MAS – Daripada menggantikan harta yang rosak selepas banjir, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memilih membantu penduduk melindunginya lebih awal menerusi pembinaan rakit kecemasan, sekali gus memperkenalkan pendekatan baharu dalam pengurusan risiko bencana.

Pengarah Eksekutif Crisis Relief Services and Training (CREST), Dr Yoong Sao Chin berkata, projek yang dilaksanakan bersama Kelantan Disaster Respon Network (KDRN) itu memberi tumpuan kepada usaha pengurangan risiko bencana berbeza dengan kebanyakan bantuan yang hanya disalurkan selepas banjir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hampir 90 peratus NGO lazimnya turun padang selepas banjir untuk mengagihkan bantuan makanan atau menggantikan barangan yang rosak, namun pendekatan itu tidak memutuskan kitaran kerugian yang dialami penduduk setiap kali musim tengkujuh.

“Kami fikir, mengapa tidak lakukan sesuatu sebelum banjir berlaku supaya penduduk dapat mengurangkan risiko kehilangan harta benda.

Iklan

“Kalau setiap kali banjir barang elektrik rosak, selepas itu NGO pula datang beri bantuan dan tahun berikutnya perkara sama berulang, ia tidak akan habis. Sebab itu kami pilih pendekatan pengurusan risiko bersama komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir menyerahkan rakit kecemasan kepada penduduk di Kampung Gertak Anak Buaya, Rantau Panjang di sini pada Jumaat.

Iklan

Dr Sao Chin (dua dari kanan) membantu mengangkat zink untuk dibuat bumbung rakit. FOTO: ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berkata, projek perintis itu bermula pada 2023 dan sehingga kini sebanyak 90 rakit kecemasan dibina di beberapa kawasan banjir termasuk di Kelantan dengan 20 unit lagi disediakan tahun ini untuk tujuh kampung di Rantau Panjang.

Katanya, sebelum ini CREST pernah membangunkan rakit bersaiz kecil di Kuala Lipis, Pahang pada 2016 sebelum menambah baik reka bentuknya kepada model lebih besar dan kukuh serta bumbung berdasarkan maklum balas penduduk.

“Kos pembinaan sebuah rakit lengkap dengan bumbung kira-kira RM3,500 dan mampu digunakan lima keluarga untuk menempatkan peti sejuk, mesin basuh dan peralatan elektrik lain ketika banjir.

“Kita juga mendapatkan khidmat jurutera struktur bagi memastikan rakit ini selamat digunakan dan mampu menampung beban lebih satu tan dengan faktor keselamatan yang tinggi,” katanya.

Menurut beliau, rakit itu diikat pada pokok atau struktur kukuh berhampiran rumah dan akan terapung mengikut paras air apabila banjir melanda seterusnya membolehkan penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tanpa perlu bimbang barangan elektrik ditenggelami air

Mengulas keberkesanan projek itu, Dr Yoong berkata, pengalaman selepas banjir besar pada Disember tahun lalu membuktikan rakit berkenaan berjaya menyelamatkan harta penduduk.

“Sebelum ini saya lihat banyak peti sejuk diletakkan di tepi jalan untuk dikeringkan kerana sudah rosak akibat banjir.

Apabila kami datang semula selepas banjir tahun lalu, saya gembira melihat peti sejuk dan mesin basuh mereka masih boleh digunakan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Ibrahim Mohd Zain, 55, berkata, keluarganya terpaksa membeli semula peti sejuk dan peralatan elektrik hampir setiap kali banjir sejak keadaan banjir di kampungnya menjadi semakin buruk kira-kira tiga tahun lalu.

Juruteknik telefon itu berkata, sebelum ini air banjir hanya mencecah paras 0.5 atau 0.5 meter, namun kini boleh meningkat sehingga lebih 3 meter menyebabkan hampir semua barangan rumah rosak.

“Setiap kali banjir kami ganti semula barangan, macam peti sejuk memang kena beli sebab nak simpan makanan, mesin basuh pun sama,” katanya.