KUALA LUMPUR - Jawatan dalam parti politik bukan hak mutlak atau harta pusaka yang boleh diwarisi oleh anak cucu atau hanya dikhaskan kepada individu tertentu, kata bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Beliau berkata, amalan menganggap sesuatu jawatan sebagai 'tidak boleh diusik' atau hanya layak disandang individu atau kelompok tertentu bercanggah dengan prinsip demokrasi serta boleh menjejaskan kredibiliti sesebuah institusi politik.
“Memegang jawatan penting dalam mana-mana parti politik adalah satu amanah yang diberikan oleh ahli parti dan rakyat, bukannya hak milik peribadi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, seseorang pemimpin yang menganggap jawatannya tidak boleh dicabar atau digantikan oleh orang lain sebenarnya tidak layak untuk memimpin sesebuah organisasi politik.
Katanya, parti politik yang bermaruah dan menjunjung prinsip ketelusan tidak seharusnya mempertahankan pemimpin yang mempunyai sikap sedemikian.
Mengulas mengenai proses pemilihan calon pilihan raya, Syed Ali berkata, setiap calon dipilih dan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti selepas melalui penelitian daripada pelbagai aspek.
Sehubungan itu, beliau berkata, setiap keputusan kepimpinan parti perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka walaupun tidak memihak kepada kehendak atau harapan individu tertentu.
“Pemimpin yang ikhlas tidak akan kecewa, berdendam atau berkecil hati sekiranya dirinya atau penyokongnya tidak dipilih sebagai calon pilihan raya,” katanya.
Bekas Ahli Dewan Negara itu turut menegaskan bahawa perjuangan politik seharusnya berteraskan kepentingan rakyat, bukannya demi memenuhi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
“Adalah satu kesilapan besar jika menganggap orang lain tidak layak, manakala jawatan dalam parti atau kerusi wakil rakyat merupakan hak pusaka yang perlu diwarisi oleh anak cucu,” ujarnya.