PARIT BUNTAR – Dua nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pasir Hitam, Kuala Terong, Kuala Kurau di sini ditemukan lemas pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Mohd Hairil Othman berkata, kedua-dua mangsa ditemukan oleh sebuah vesel nelayan tempatan sebelum dibawa ke Jeti Kuala Sepetang.
"Insiden berlaku apabila bot nelayan disyaki mengalami kerosakan enjin dan faktor cuaca buruk ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja menarik pukat.
"Mayat kedua-dua mangsa telah disahkan identiti oleh majikan masing-masing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Hairil berkata, susulan penemuan kedua-dua mangsa, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dijalankan ditamatkan pada jam 7.10 malam, Khamis.
Mohd Hairil turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris mangsa atas kehilangan yang dialami.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti maritim khususnya golongan nelayan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut.
Katanya, mereka perlu memastikan bot berada dalam keadaan baik dan selamat untuk belayar, memakai jaket keselamatan sepanjang masa, membawa peralatan komunikasi yang berfungsi serta menyemak ramalan cuaca sebelum keluar ke laut.