KUALA LUMPUR – Pelanggan Astro bakal menikmati lebih banyak pilihan kandungan apabila saluran Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM mula ditawarkan di platform itu dalam masa terdekat.
Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Astro Malaysia Holdings Berhad dalam kenyataan bersama memaklumkan, peluasan penawaran itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik yang diperkukuhkan bagi memastikan kandungan berkualiti terus dapat diakses rakyat menerusi pelbagai platform penyiaran.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan dijangka memperluaskan akses rakyat kepada kandungan awam yang berkualiti, dipercayai dan relevan, selain memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional kepada pelbagai lapisan masyarakat.
"Rakyat Malaysia akan terus menikmati saluran TV1, TV2 dan TV Okey di platform Astro, NJOI dan Sooka.
"Peluasan penawaran saluran RTM melalui Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM pula akan mula tersedia kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, RTM dan Astro berkata, kedua-dua organisasi bersetuju memperkukuh kerjasama strategik.
"Langkah ini bagi merancakkan pembangunan kandungan tempatan, memperkasa bakat kreatif negara.
"Selain itu, ia secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing dan relevan," katanya.
Menurut kenyataan itu, landskap media massa ketika ini memerlukan pendekatan yang lebih progresif, inklusif dan berorientasikan masa hadapan.
"Ini selaras dengan perkembangan teknologi serta perubahan corak penggunaan media.
"RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat," katanya.
Jelas kenyataan itu, seiring perkembangan teknologi serta peningkatan pilihan platform media, kerjasama yang lebih erat antara pemain industri penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti dapat terus diperkasakan pada kos yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.
Menurut kenyataan sama, kedua-dua pihak yakin kerjasama yang diperkukuhkan itu akan memberi manfaat kepada RTM dan Astro, selain memperkukuh industri media tempatan serta memperluaskan akses rakyat kepada kandungan yang berkualiti, dipercayai dan relevan.