KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 merupakan satu-satunya RUU yang diluluskan pada minggu pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen ke-15.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam RUU itu, Seksyen 42A diperkenalkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil lebih awal terhadap kegiatan lumba haram tanpa perlu menunggu hingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian.
Ia sekali gus menutup kelompangan undang-undang sedia ada yang menyukarkan tindakan diambil kerana pihak berkuasa sebelum ini perlu membuktikan unsur bahaya atau akibat telah berlaku.
Anthony berkata, kementeriannya akan membentangkan satu lagi pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) itu pada hujung tahun ini, bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan yang disebabkan oleh pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, selain hukuman denda dan penjara.
Dalam pada itu, RUU Penjara (Pindaan) 2026 yang antara lain bertujuan memperuntukkan penggunaan peranti pengawasan elektronik serta pelantikan sukarelawan bagi pelaksanaan program pemulihan banduan, telah ditangguhkan dan dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk penelitian lanjut.
Beberapa RUU turut dibentang bagi bacaan kali pertama iaitu Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, RUU Persaingan (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 serta Akta Jenayah Siber 2026 yang bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang berkuat kuasa 18 Jun.
Johari turut mengesahkan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas, dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa dan Khamis yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijawab oleh menteri-menteri berkaitan berikutan Anwar terlibat dengan beberapa program lain.
Selain itu, beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) turut diperuntukkan sesi pembentangan penyata jawatankuasa masing-masing serta dibahaskan di Dewan Rakyat, seiring dengan usaha Parlimen memperkukuh peranan dan fungsi JPKP.
Beberapa isu turut menjadi tumpuan dan perbincangan Ahli-Ahli Parlimen sepanjang persidangan minggu ini antaranya isu pengangguran, impak krisis bekalan tenaga, keselamatan dalam talian serta soal kawalan sempadan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, sebanyak 42,807 pekerja kehilangan pekerjaan antara Januari hingga 12 Jun lepas, dengan penutupan dan pengecilan syarikat dikenal pasti sebagai punca utama.
Bagaimanapun, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pasaran buruh negara kekal berdaya tahan apabila jumlah kehilangan pekerjaan pada Jun menurun 20 peratus berbanding Mei, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada paras 70.9 peratus.
Dalam isu keselamatan dan pengawalan sempadan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM22 juta bagi melengkapkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan senjata api dan peralatan.
Di sebalik krisis bekalan global, Kementerian Perladangan dan Komoditi memaklumkan kerajaan akan menilai kesesuaian pelaksanaan biodiesel B50 berikutan keperluan menaik taraf depoh pengadunan sedia ada yang melibatkan kos tinggi.
Bagi melindungi pengguna digital khususnya kanak-kanak, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko yang berkuat kuasa 1 Jun lepas menetapkan mekanisme pengesahan umur bagi akses ke platform media sosial, dan jika gagal berbuat demikian boleh dikenakan penalti hingga RM10 juta di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai.- Bernama