Kanak-kanak 12 tahun ditahan pandu kereta di lebuh raya, dakwa dia lelaki kerdil

Iklan
Lou ditahan di sebuah plaza tol selepas lebih enam jam memandu.

GUILIN – Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun ditahan polis selepas dipercayai memandu sebuah kereta milik jirannya secara bersendirian di lebuh raya selama lebih enam jam di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak itu cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mendakwa dirinya seorang dewasa yang kerdil apabila dihentikan di sebuah plaza tol.

Iklan
Iklan

Menurut laporan media tempatan, kejadian itu terbongkar pada 15 Jun lalu apabila petugas di Plaza Tol Gaotian berasa curiga selepas pemandu terbabit memaklumkan dia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar tol.

Pemeriksaan lanjut mendapati, individu di belakang stereng kelihatan terlalu kecil untuk menjadi seorang pemandu yang sah.

Iklan

Apabila ditanya mengenai umurnya, kanak-kanak berkenaan berkeras mendakwa dirinya seorang dewasa dan menyatakan saiz tubuhnya yang kecil berpunca daripada keadaan kekerdilan.

Bagaimanapun, polis yang dipanggil ke lokasi mengesahkan pemandu terbabit sebenarnya seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bernama Luo serta tidak memiliki lesen memandu.

Iklan

Siasatan mendapati Luo dipercayai mengambil kunci kereta jirannya kira-kira jam 4 pagi sebelum memandu keluar dari Guilin melalui Plaza Tol Xiangshan sekitar jam 4.45 pagi.

Dia kemudian memandu merentasi beberapa daerah dan berada di lebuh raya selama lebih enam jam sebelum dihentikan di Plaza Tol Gaotian.

Ketika disoal siasat, Luo pada mulanya mendakwa dia dalam perjalanan untuk melawat neneknya dan mengatakan kereta yang dipandunya milik ibu saudaranya.

Malah, dia turut mendakwa itu adalah kali pertama dia memandu dan belajar mengendalikan kenderaan sepanjang perjalanan tersebut.

Namun, hasil siasatan polis mendapati kereta sedan berkenaan sebenarnya milik jirannya yang tidak menyedari kenderaannya telah diambil sehingga dihubungi pihak berkuasa.

Luo kemudian mengaku bahawa dia dan beberapa rakannya pernah belajar memandu sendiri secara rahsia semata-mata untuk berseronok.

Susulan kejadian itu, polis memanggil penjaga kanak-kanak berkenaan serta pemilik kenderaan bagi membantu siasatan.