RUMAH sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi seorang kanak-kanak. Ahli keluarga pula seharusnya menjadi benteng perlindungan yang menjaga, membimbing dan menyayangi anak-anak.
Namun, apabila individu yang dipanggil datuk sendiri bertukar menjadi pemangsa, seluruh konsep keselamatan dalam institusi keluarga menjadi runtuh.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kes di Bachok melibatkan seorang warga emas berusia 79 tahun yang didakwa atas lima pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap cucu perempuannya yang berusia 12 tahun.
Sebelum itu, Mahkamah Sesyen di Muar menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan terhadap seorang lelaki warga emas yang mengaku bersalah atas lima pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya.
Apalah dalam fikiran datuk ini sehingga tergamak merogol cucu sendiri. Hubungan antara datuk dan cucu lazimnya dikaitkan dengan kasih sayang, perhatian dan perlindungan.
Ramai ibu bapa mempercayai datuk dan nenek untuk menjaga anak-anak kerana hubungan kekeluargaan dianggap sebagai tempat paling selamat.
Namun, apabila kepercayaan itu disalahgunakan, kesannya jauh lebih mendalam berbanding jenayah yang dilakukan oleh orang luar.
Mangsa bukan sahaja mengalami penderitaan fizikal dan emosi, malah berdepan trauma kerana dikhianati oleh individu yang mereka hormati dan percayai.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual sering mengalami tekanan emosi, ketakutan, hilang keyakinan diri dan kesukaran untuk mempercayai orang lain. Dalam banyak keadaan, kesan psikologi itu boleh berlarutan sehingga mereka dewasa.
Masyarakat sering mengaitkan golongan warga emas dengan sifat penyayang, berpengalaman dan dihormati.
Namun, usia yang lanjut tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan keseriusan sesuatu jenayah.
Seseorang yang telah bergelar datuk sepatutnya menjadi contoh kepada keluarga dan masyarakat.
Sebaliknya, apabila individu yang sepatutnya melindungi sanggup merosakkan masa depan cucunya sendiri, perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan yang amat besar.