Stok uranium diperkaya milik Iran jadi isu paling sensitif

Iklan
Sebahagian besar uranium yang boleh digunakan untuk bahan gred senjata dipercayai disimpan di Isfahan yang musnah dibedil pada Jun 2025.

KIRA-KIRA 440 kilogram (kg) uranium diperkaya yang dianggarkan seberat sebuah kereta kecil menjadi isu utama yang menentukan hala tuju pelan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran setelah memorandum persefahaman (MoU) dimeterai secara digital pada minggu lalu.

Stok tersebut menjadi agenda lebih penting berbanding perbincangan untuk melaksanakan gencatan senjata secara kekal dan membuka semula Selat Hormuz.

Iklan
Iklan

Menurut pemeriksa antarabangsa, bahan itu berpotensi menghasilkan kira-kira 10 senjata nuklear jika tahap pengayaannya dipertingkatkan, sekali gus menjadikannya antara isu paling sensitif dalam rundingan tersebut.

Presiden AS, Donald Trump berulang kali menegaskan Teheran mesti menyerahkan stok tersebut yang digelar beliau sebagai ‘habuk nuklear’ selepas Iran tetap berkeras mahu meneruskan program nuklear untuk tujuan awam.

Iklan

Perbezaan pendirian AS dan Iran menjadikan stok uranium itu antara halangan utama kepada kemajuan rundingan damai tersebut.

Teheran didakwa memiliki stok besar uranium termasuk kira-kira 440kg yang diperkaya sehingga tahap 60 peratus, melebihi keperluan biasa untuk program tenaga nuklear awam.

Iklan

Iran turut mempunyai kira-kira 184kg uranium yang diperkaya pada tahap 20 peratus dan stok uranium yang diperkaya pada tahap lebih rendah dalam jumlah besar.

Pakar berpendapat simpanan tahap rendah itu juga perlu ditangani kerana Teheran berupaya memperkaya uranium dengan kadar pantas menggunakan pengempar moden.

Kebimbangan Barat bukan sekadar pada jumlah uranium yang dimiliki Iran, tetapi sejauh mana ia sudah hampir mencapai tahap bahan gred senjata.

Uranium semula jadi mengandungi kurang daripada satu peratus uranium-235, iaitu isotop boleh belah yang digunakan dalam reaktor nuklear dan senjata.

Melalui proses pengayaan, kepekatan uranium akan dipertingkatkan manakala uranium gred senjata lazimnya ditakrifkan pada tahap ketulenan kira-kira 90 peratus.

Menurut pakar nuklear, sebaik sahaja uranium mencapai ketulenan 60 peratus, ia lebih mudah untuk diproses menjadi bahan gred senjata.

Ditanam atau disembunyikan

Bekas pegawai risikan, Eric Brewer mendakwa proses pengayaan lanjut boleh mengambil masa hanya ‘beberapa hari hingga beberapa minggu’ jika kemudahan Teheran masih beroperasi.

Banyak pihak percaya, stok uranium pada tahap 60 peratus dianggap sebagai isu paling mendesak dalam rundingan AS-Iran.

Penilaian risikan menyimpulkan sebahagian besar stok uranium yang diperkaya tinggi berkemungkinan telah ditanam atau disembunyikan. Situasi sebenar di kemudahan yang dibedil AS bersama Israel pada Jun 2025 masih tidak diketahui walaupun imej satelit menunjukkan kerosakan teruk pada permukaannya.

Ketidakpastian itu telah merumitkan usaha diplomatik. Teheran pula bertindak menghalang pemeriksaan antarabangsa, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai lokasi sebenar stok uranium berkenaan.

Netanyahu ketakutan

Baru-baru ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi mendakwa Iran akan membangunkan senjata nuklear dan menggunakannya terhadap Tel Aviv.

Namun, tiada bukti yang menyokong dakwaan tidak berasas tersebut yang bercanggah dengan pandangan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi perisikan AS.

Selama beberapa dekad, Netanyahu yang seperti anjing dikejar bayang-bayang sering membuat andaian tidak masuk akal mengenai program nuklear Teheran.

Pemimpin ‘ekstremis’ itu semakin tidak keruan sejak perjanjian damai sementara dicapai yang turut menggugat hubungannya bersama Washington.

Iran dan Israel telah menjadi musuh ketat sejak lebih empat dekad lalu. Sepanjang tempoh 30 tahun, Netanyahu menjadikan isu nuklear sebagai fokus utama politiknya dan berulang kali memberi amaran tentang bom nuklear yang hampir dihasilkan Teheran.

Tetapi, tiada petunjuk jelas membuktikan Iran mempunyai program senjata nuklear yang aktif sejak tahun 2003.

Pada 2025, satu laporan daripada Pejabat Pengarah Perisikan Negara AS mengesahkan Iran tidak membangunkan senjata nuklear, namun ia tetap mencetuskan kegelisahan kepada banyak pihak yang terus memantau rapat program tersebut.