NEW DELHI - Tindakan seorang lelaki mabuk memanjat tiang elektrik berkuasa 11,000 volt dan berbaring di atas kabel voltan tinggi mencetuskan panik dalam kalangan penduduk sebuah kampung di Uttar Pradesh, India.
Dalam kejadian pada petang Selasa di Kampung Parsa Khurd, daerah Maharajganj, lelaki dikenali sebagai Deen Dayal itu memanjat tiang elektrik sebelum merebahkan dirinya di atas kabel yang tergantung.
Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu segera berkumpul di lokasi berkenaan, manakala pihak berkuasa dipanggil bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menurut penduduk setempat, tragedi lebih buruk berjaya dielakkan selepas bekalan elektrik ke talian berkenaan diputuskan beberapa minit sebelum lelaki itu memanjat tiang terbabit.
Mereka percaya keadaan boleh membawa maut sekiranya arus elektrik masih mengalir ketika Deen Dayal berada di atas kabel voltan tinggi itu.
Susulan kejadian, polis bersama pegawai Jabatan Elektrik menjalankan operasi bagi memastikan keselamatan lelaki berkenaan.
Polis Bhitauli segera berhubung dengan pihak pembekal elektrik untuk memastikan bekalan kuasa kekal dihentikan sepanjang usaha menyelamat dijalankan.
Selama beberapa jam, anggota polis, pegawai kerajaan dan penduduk kampung berusaha memujuk lelaki terbabit supaya turun dari tiang elektrik berkenaan.
Usaha itu akhirnya berjaya apabila Deen Dayal bersetuju turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Ketua Polis Balai Bhitauli, Satyendra Kumar Rai mengesahkan lelaki tersebut berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
“Seorang lelaki yang mabuk telah memanjat tiang elektrik. Kami bekerjasama dengan pihak jabatan elektrik dan berjaya memujuknya turun dengan selamat.
“Selepas itu, dia diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pihak berkuasa memuji tindakan pantas dan koordinasi antara polis serta jabatan elektrik yang berjaya mengelakkan kejadian itu daripada bertukar menjadi kemalangan serius.-Agensi