PROGRAM nuklear Iran terus menjadi perhatian dunia dan telah mendominasi liputan media antarabangsa selama lebih dua dekad.
Sejak daripada awal, Teheran menegaskan program itu adalah untuk tujuan keamanan, namun peningkatan aktiviti pengayaan uranium mengundang resah kepada kuasa Barat terutamanya Washington bersama sekutu kuatnya, Israel.
Aktiviti nuklear Iran bermula pada tahun 1950-an di bawah pemerintahan monarki terakhir, Mohammad Reza Pahlavi sebagai sebahagian daripada inisiatif yang disokong oleh AS untuk mempromosikan tenaga nuklear awam di negara-negara sekutunya.
Ketika itu, Washington turut membantu membina reaktor penyelidikan pertamanya di Universiti Teheran melalui inisiatif Atoms for Peace.
Pemerintah ketika itu bercita-cita membangunkan rangkaian reaktor nuklear yang berupaya membekalkan tenaga kepada bandar di seluruh negara, sekali gus mengangkat kedudukan Iran sebagai kuasa sains dan teknologi serantau.
Menjelang 1970-an, Iran telah menandatangani perjanjian dengan Perancis dan Jerman Barat untuk membina beberapa reaktor nuklear.
AS secara dasarnya juga bersetuju membenarkan Iran mewujudkan kitaran bahan api nuklear yang lengkap termasuk pengayaan uranium dan pemprosesan semula bahan api.
Teknologi itu bagaimanapun dianggap sensitif kerana ia boleh digunakan untuk menghasilkan bahan api bagi reaktor awam atau untuk senjata nuklear.
Negara-negara Barat pada masa itu menganggap Teheran sebagai sekutu yang boleh dipercayai dan program tersebut tidak mendapat bantahan di peringkat antarabangsa. Namun, segalanya berubah selepas Revolusi Islam tercetus pada 1979.
Ruhollah Khomeini menghentikan sebahagian besar aktiviti nuklear Iran selepas menggulingkan pemerintahan monarki.
Hal ini kerana pemerintahan teokratik yang menerajui negara itu curiga terhadap pengaruh Barat selain tekanan disebabkan peperangan dengan Iraq menjadikan pembangunan nuklear bukan lagi agenda utama.
Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, Iran mula menghidupkan semula program nuklear mereka. Ia menandatangani perjanjian dengan Rusia dan Pakistan serta meningkatkan aktiviti di kemudahan seperti Natanz dan Arak.
Usaha berkenaan menimbulkan syak wasangka kepada banyak pihak termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerana Teheran didakwa mengendalikan sebahagian kemudahan itu secara rahsia.
Pada 2002, kumpulan pembangkang Iran, Majlis Penentangan Kebangsaan Iran (NCRI) membongkar kewujudan dua tapak nuklear di Natanz dan Arak yang mengejutkan agensi risikan Barat.
Pemeriksa mengesahkan terdapat petunjuk bahawa Iran telah menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan usaha membangunkan senjata nuklear seperti eksperimen bahan letupan berkuasa tinggi dan kemungkinan reka bentuk kepala peledak peluru berpandu.
Tindakan menyembunyikan operasi tersebut daripada laporan rasmi didakwa melanggar perjanjian perlindungan di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) yang telah ditandatangani oleh Teheran.
Sebagai respons tegas, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenakan beberapa resolusi yang menuntut Iran menghentikan aktiviti pengayaan uranium dan pemprosesan semula bahan nuklear.
Ia disusuli siri sekatan ke atas sektor pertahanan, tenaga dan perbankan yang menjadi pencetus utama kepada permusuhan berpanjangan antara Teheran dan Washington.
Kedua-dua negara itu terus terperangkap dalam kitaran tekanan, perang bayangan dan konfrontasi yang tiada kesudahan.