Enam ditahan terlibat penipuan pelaburan minyak wangi

Iklan
Antara barangan yang dirampas polis bagi membantu siasatan.

KUALA LUMPUR - Polis menahan enam individu dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan minyak wangi menerusi serbuan di sebuah premis di KL Eco City di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Kita menahan enam warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 47 tahun.

"Kita turut merampas pelbagai barangan dan dokumen dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut termasuk telefon bimbit, komputer, unit pemprosesan pusat (CPU), kad keahlian, serta stok produk minyak wangi dan barangan berkaitan perniagaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Basri berkata, siasatan awal mendapati semua individu yang ditahan mempunyai peranan masing-masing dalam pengurusan dan operasi sindiket berkenaan yang menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

"Kesemua suspek dibawa ke IPD Sentul untuk tindakan lanjut dan telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Iklan

Basri berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penipuan pelaburan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.