SHAH ALAM – Keputusan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Johor tidak menyertai pilihan raya negeri (PRN) akan datang dibuat berdasarkan pertimbangan pragmatik seperti kesediaan keseluruhan semasa organisasi parti, keupayaan mobilisasi akar umbi dan peruntukan sumber.
Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee berkata, keputusan tersebut dicapai secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Negeri Gerakan Johor selepas perbincangan teliti dan bukan kerana rasa tidak puas hati dengan kerusi yang diperuntukkan.
"Oleh itu, tidak ada situasi dipaksa menerima kawasan pilihan raya yang sukar atau menarik diri daripada pilihan raya kerana isu peruntukan kerusi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee mengesahkan parti itu tidak akan bertanding pada PRN Johor dengan keputusan dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat antara jawatankuasa perhubungan negeri, sayap wanita, dan sayap pemuda.
Kok Chee menyifatkan penarikan diri itu sebagai pilihan rasional bersama yang mengutamakan kepentingan PN yang lebih luas.
Shiaw Lee yang juga Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Johor menegaskan, parti itu sentiasa menghormati mekanisme perundingan Perikatan Nasional (PN) dan akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan pelan strategik keseluruhan gabungan itu.
Menurutnya, komitmen itu penting bagi memastikan usaha mencapai pembangunan politik yang lebih baik dan khidmat untuk rakyat dapat diteruskan.
"Kami menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai laporan spekulatif yang tidak disahkan dan bergantung kepada kepada kenyataan rasmi," ujarnya.