Pertuduhan terhadap Haim Hilman amalan pendakwaan terpilih - Pas

Iklan
Takiyuddin

SHAH ALAM - Pas menyifatkan pertuduhan yang dikenakan terhadap Exco Kerajaan Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah sebagai amalan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau susulan ucapan yang disampaikan dalam satu program pada 13 Jun lalu.

Iklan
Iklan

"Pas secara konsisten mengecam sebarang tindakan pendakwaan terpilih seperti ini lebih-lebih lagi isu yang ditimbulkan Haim Hilman itu adalah berkaitan dengan akses kepada pendidikan dan beliau sendiri tokoh dalam bidang itu sejak sekian lama.

"Trend mendakwa ahli politik pembangkang pada kadar yang segera dan cepat yang berterusan juga menjadi indikator bahawa ia benar-benar merupakan suatu pendakwaan terpilih," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurut Takiyuddin, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila melibatkan pemimpin kerajaan.

"Amatlah menghairankan ramai ahli politik kerajaan yang lebih lantang menyentuh isu-isu sensitif termasuk 3R (agama, raja dan kaum) serta membuat kenyataan-kenyataan jelek melampau, tidak dikenakan sebarang tindakan," katanya lagi.

Iklan

Beliau berpandangan ucapan Haim Hilman pada program berkenaan adalah bersifat menegur.

"Selain itu, ia merupakan langkah semak dan imbang terhadap polisi kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi pada ketika ini secara berfakta dan tidak emosional," katanya.

Tegas Takiyuddin, pihaknya menuntut hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati oleh semua pihak.

Terdahulu, Hail Hilman yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan orang awam berhubung kenyataannya kononnya universiti awam menjual tempat kepada golongan tertentu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun ataundenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Haim Hilman didakwa menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menafikan hak 30,000 pelajar yang layak kerana amalan tidak telus dan wujud unsur ‘pintu belakang’ dalam satu ceramah umum di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kemudian dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya memandang serius tuduhan berkenaan termasuk dakwaan kononnya institusi itu menjual tempat kepada golongan tertentu.

Menurut KPT, tuduhan tersebut bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara.