KUALA LUMPUR - Pertahanan negara bukan lagi tanggungjawab eksklusif Kementerian Pertahanan (MINDEF), sebaliknya menjadi agenda nasional yang memerlukan penglibatan seluruh kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi landskap keselamatan yang semakin mencabar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perubahan pendekatan itu diterjemahkan menerusi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang dilancarkan bersama Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030.
“Buat pertama kalinya, Pelan Strategik MINDEF dijenamakan semula sebagai Pelan Strategik Pertahanan Negara.
“Ancaman keselamatan kini datang dalam pelbagai bentuk dan sesiapa sahaja boleh menjadi sasarannya.
“Maka, kita memerlukan postur pertahanan yang lebih komprehensif untuk membina negara yang berdaya tahan tinggi,” katanya selepas melancarkan PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 di sini pada Khamis.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Mohamed Khaled berkata, kedua-dua dokumen strategik itu dirangka susulan perubahan landskap keselamatan global yang semakin kompleks termasuk kemajuan teknologi disruptif serta ancaman bukan bersenjata.
Menurut beliau, PSPN 2026-2030 menterjemahkan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Dasar Keselamatan Negara dan agenda Malaysia Madani kepada pelaksanaan yang lebih berfokus, responsif dan berimpak tinggi melalui tujuh teras strategik.
“Teras tersebut ialah memperkasakan keupayaan dan mencapai kesiagaan ATM dalam melindungi kepentingan negara, pengukuhan kapasiti pertahanan yang kompeten, pelestarian kesejahteraan warga kerja pertahanan dan pemerkasaan kerjasama awam-tentera (CIMIC) bagi menyokong Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
“Seterusnya, pembangunan sains, teknologi, inovasi dan industri pertahanan; pengukuhan hubungan pertahanan antarabangsa dalam menjamin kedaulatan negara serta pemerkasaan kesejahteraan veteran ATM,” katanya lagi.
Sebagai pelengkap kepada PSPN, Mohamed Khaled berkata, RTKP 2026 2030 bertindak sebagai dokumen sokongan kepada KPP yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan modal insan pertahanan melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) serta Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat (Whole-of-Government and Whole-of Society, WOGOS).
Jelas beliau, tumpuan diberikan kepada pembangunan modal insan pertahanan merangkumi anggota Angkatan Tentera Malaysia, angkatan sukarela, veteran, warga awam pertahanan dan rakyat.
“Pelaksanaan RTKP digerakkan melalui tiga teras utama, iaitu meningkatkan keberkesanan tenaga kerja pertahanan, menyemai semangat patriotisme, serta memupuk bakat dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.
“Teras ini disokong oleh tujuh strategi dan 18 inisiatif bagi melahirkan warga kerja pertahanan yang profesional, kompeten, kemahiran tinggi dan berdaya rahan dalam mendepani dinamika keselamatan semasa,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengakui episod pembatalan lesen eksport peluru berpandu anti kapal (NSM) oleh Norway sudah cukup menjadi pengajaran.
“Situasi kompleks itu tidak dapat diduga, jadi kita tidak boleh terus berdiam diri dalam keadaan tidak menentu seperti ini.
“Kita akan perkukuhkan saluran diplomasi pertahanan yang mana Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali selain keamanan perlu dibina dan dipelihara melalui kerjasama serantau,” katanya.
Tegas Mohamed Khaled, Malaysia memainkan peranan aktif dalam platform antarabangsa seperti ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM), ADMM-Plus dan Five Power Defence Arrangements (FPDA).
Tumpuan kepada pembangunan keupayaan pertahanan
Mohamed Khaled menegaskan pemodenan ATM akan terus dilaksanakan mengikut jadual sepanjang tempoh lima tahun itu antaranya penerimaan tiga unit Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA MALE Fasa 1 pada Mac lalu yang kini beroperasi di Pangkalan Udara Labuan.
Katanya, ATM juga dijangka menerima aset strategik baharu termasuk Fighter Lead In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 dalam tempoh berkenaan.
“Kementerian akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pertahanan masa depan antaranya melalui penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengukuhan keupayaan pertahanan siber secara bersepadu dan pembangunan keupayaan peperangan elektronik.
“Penguasaan spektrum elektromagnetik serta keupayaan satelit pertahanan negara dalam operasi ketenteraan yang diterajui Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (PSEP) turut diberi tumpuan,” jelas beliau.
Menerusi PSPN, Mohamed Khaled berkata, kerajaan merancang membina enam projek baharu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan menyelenggara kira-kira 20,000 unit RKAT sedia ada.
“Dalam aspek kesihatan, kita akan membina dua poliklinik ATM baharu serta menaiktaraf hospital-hospital angkatan tentera,” katanya.
Bagi veteran ATM pula, beliau berkata, kementerian akan memperluaskan peluang kerjaya kedua melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat perkhidmatan.
"Antaranya melalui pelaksanaan program Work-Based Learning (WBL), pengukuhan peranan Perbasanan Hal Ehwal Bekas ATM (Perhebat), Program Reskilling dan Upskilling serta PROWIRA Ready To Work Veteran.
Tambah Mohamed Khaled, pelancaran PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia memiliki angkatan pertahanan yang moden, responsif dan berdaya tahan dalam menghadapi sebarang cabaran keselamatan pada masa hadapan.
Pada majlis itu, sesi wacana strategik yang menghimpunkan ahli panel daripada Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi berkaitan bagi memperincikan pelan pelaksanaan PSPN dan RTKP, khususnya dalam memacu inovasi dan memperluas pendekatan HANRUH.