Hijrah: Insafi masa, manfaatkan usia

Iklan
SETIAP ahli keluarga sepatutnya memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab. Foto Canva

JHEAINS berpesan agar menilai diri setiap hari dan menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan

KITA baru sahaja melangkah ke tahun baharu 1448 Hijrah dan perjalanan masa yang terus berlalu merupakan antara kebesaran serta kekuasaan ALLAH SWT yang mengatur kehidupan seluruh makhluk-NYA.

“Hari, minggu, bulan dan tahun silih berganti tanpa pernah berhenti. Hakikat ini seharusnya menyedarkan kita bahawa usia yang dikurniakan semakin berkurangan, manakala detik pertemuan dengan ALLAH SWT semakin hampir.

Iklan
Iklan

“Lazimnya menjelang tahun baharu, ramai yang memasang azam dan merancang ke arah kehidupan yang lebih baik,” ucap khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut JHEAINS, di sebalik perancangan tersebut, janganlah umat Islam lupa untuk bermuhasabah sejauh mana masa dan usia yang dikurniakan ALLAH diman-faatkan untuk meningkatkan keimanan, memperbanyakkan amal soleh serta mendekatkan diri kepada-NYA.

Iklan

“Sedarlah bahawa nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh ALLAH SWT merupakan peluang yang amat berharga.

Imam Hasan Al-Basri mengingatkan: “Seseorang hamba itu akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi ada kesedaran dalam dirinya dan dia sentiasa menjadikan muhasabah terhadap kesilapan diri sebagai keutamaan dalam hidupnya.”

Iklan

HIJRAH diri termasuk dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pekerjaan. Foto Canva

Oleh itu menurut JHEAINS, janganlah kita berasa cukup dengan amalan yang ada, sebaliknya terus berusaha memperbaiki kelemahan dan meningkatkan ketaatan kepada ALLAH.

Nilai diri setiap hari

Ujarnya, Islam mendidik umatnya agar sentiasa bermuhasabah dan tidak membiarkan kehidupan berlalu tanpa penilaian.

“Setiap hari yang berlalu seharusnya mendorong kita menilai kebaikan yang dilakukan, dosa yang masih diulangi dan taubat yang masih tertangguh.

“Inilah hakikat muhasabah, mengakui kelemahan diri dengan penuh kejujuran di hadapan ALLAH.

Sambung khatib, orang yang bermuhasabah bukan sekadar bertanya tentang ibadah yang dia lakukan, tetapi turut menilai kualiti ibadah dilakukan.

“Jika dia bersolat, dia bertanya kepada dirinya: Adakah solatku benar-benar mencegah diriku daripada maksiat? Jika dia membaca al-Quran, dia menilai: Adakah al-Quran yang dibaca dapat melembutkan hatiku?

KITA sepatutnya menilai diri dan bermuhasabah setiap hari. Foto Canva

“Jika dia bertaubat, dia bermuhasabah: Adakah taubat itu disertai dengan penyesalan dan disusuli dengan usaha meninggalkan dosa?” soal khatib.

Tanggungjawab dalam hidup

Begitu juga tanggungjawab dalam kehidupan, seorang suami perlu menilai sejauh mana amanahnya terhadap keluarga telah dilaksanakan, ujar khatib.

“Seorang isteri juga perlu menilai peranannya dalam membina rumah tangga yang harmoni.

“Begitu juga para pekerja, pemimpin dan seluruh anggota masyarakat, masing-masing perlu menilai pelaksanaan tugas dengan penuh kejujuran serta rasa takut kepada ALLAH,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sesungguhnya setiap tanggungjawab ini akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT pada hari akhirat kelak.

Justeru, tahun baharu Hijrah ini wajar dijadikan peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan perjalanan hidup agar kembali berada di atas jalan yang diredai-NYA.

“Terdapat banyak perubahan yang wajar kita lakukan dengan hadirnya tahun baharu 1448H ini. Marilah kita menyuburkan nilai rahmah, kasih sayang dan saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat.

“Islam mendidik kita agar sentiasa berlemah lembut dalam pertuturan, menjaga adab dalam pergaulan serta menghormati setiap insan tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

UBAH diri dengan merajinkan diri untuk sering ke masjid sempena tahun baharu 1448 Hijrah. Foto Canva

“Sikap ini bukan sahaja menyemai perpaduan bahkan menjadi asas kepada keharmonian,” katanya.

Tanpa kita sedari, mungkin terdapat hati yang pernah terluka akibat kata-kata kita, maruah yang terguris kerana sikap kita atau hubungan yang menjadi renggang akibat keegoan kita.

“Jadikan tahun baharu 1448H ini sebagai titik permulaan untuk menyebarkan kasih sayang dalam setiap tindakan. Semoga dengannya kehidupan kita akan sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan ALLAH SWT,” nasihat khatib.