Apakah Pas mahu mengulangi kesilapan yang sama?

Iklan
Suatu ketika dahulu, Pas dan UMNO pernah berada dalam satu kerangka kerjasama yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.

DALAM politik, sesuatu keputusan besar tidak wajar dinilai hanya berdasarkan keuntungan jangka pendek, tetapi perlu diukur melalui kesannya terhadap prinsip, kestabilan organisasi, kepercayaan akar umbi dan masa depan perjuangan.

Bagi sebuah gerakan politik Islam seperti Pas, sesuatu keputusan politik yang diambil seharusnya tidak terpisah daripada asas syura, perpaduan ummah, maslahat umat Islam serta kepentingan bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangan.

Iklan
Iklan

Atas asas inilah timbul persoalan besar dalam kalangan sebahagian ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi mengenai mengapa kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini seolah-olah mahu diulangi sekali lagi oleh pimpinan Pas sekarang.

Suatu ketika dahulu, Pas dan UMNO pernah berada dalam satu kerangka kerjasama yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.

Iklan

Kerjasama tersebut bukan sekadar dilihat sebagai pakatan politik biasa, tetapi dianggap oleh ramai ahli di akar umbi sebagai satu usaha besar ke arah penyatuan ummah. Hubungan yang sebelum itu tegang dan dipenuhi prasangka mula berubah menjadi lebih lunak, harmoni dan bersaudara.

Di peringkat bawah, kesan Muafakat Nasional amat jelas. Ahli Pas dan UMNO yang sebelum ini mungkin saling berbeza pandangan, saling berkempen menentang antara satu sama lain, malah kadangkala terlibat dalam pertembungan emosi, mula kembali membina hubungan yang lebih baik.

Iklan

Ukhuwwah Islamiyyah mula terasa. Maki hamun mula berkurang. Perbalahan sesama Muslim mula reda. Semangat bahawa umat Islam dan bangsa Melayu perlu disatukan mula mendapat tempat di hati rakyat.

Lebih penting, kerjasama tersebut dimeterai melalui persefahaman politik yang dibina atas asas penyatuan ummah. Ia memberi harapan bahawa Pas dan UMNO, sebagai dua buah parti Melayu-Islam terbesar dalam negara, akhirnya mampu mencari titik persamaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Namun, harapan itu tidak bertahan lama. Akar umbi Pas kemudiannya dikejutkan dengan keputusan politik saat akhir apabila Pas memilih untuk berpisah daripada UMNO dan meneruskan kerjasama bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Walaupun ahli di bawah menerima dan mematuhi keputusan pimpinan, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian mereka menyimpan persoalan yang mendalam.

Antaranya ialah apakah asas sebenar perpisahan dengan UMNO ketika hubungan akar umbi sedang mula pulih dan adakah keputusan itu benar-benar berasaskan maslahat jangka panjang umat Islam dan Melayu atau lebih dipengaruhi oleh pertimbangan kuasa politik semata-mata.

Persoalan ini wajar direnungi secara jujur. Hal ini kerana perpecahan politik dalam kalangan parti-parti Melayu-Islam bukan sahaja memberi kesan kepada parti tetapi turut memberi kesan kepada kedudukan politik umat Islam secara keseluruhan.

Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya berpegang teguh kepada tali ALLAH dan tidak berpecah-belah. Peringatan ini bukan sekadar berbentuk nasihat rohani, tetapi mempunyai makna politik dan sosial yang amat besar.

Apabila umat berpecah, kekuatan menjadi lemah. Apabila kekuatan menjadi lemah, ruang akan terbuka kepada pihak lain untuk menentukan hala tuju negara.

Inilah kebimbangan yang dirasai oleh sebahagian ahli Pas apabila melihat perpecahan antara Pas dan UMNO akhirnya membawa kepada perubahan landskap kuasa yang tidak menguntungkan agenda Islam dan Melayu.

Keperluan kembali kepada asas perpaduan

Berdasarkan pengalaman tersebut, timbul semula kesedaran bahawa penyatuan antara parti-parti Melayu-Islam adalah satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan.

Atas kesedaran inilah, usaha untuk mendekatkan kembali hubungan dengan UMNO dilihat sebagai langkah yang wajar, khususnya demi kepentingan Islam, bangsa Melayu dan kestabilan politik negara.

Walaupun pada peringkat awal UMNO dilihat berhati-hati dan tidak mudah menerima semula kerjasama tersebut, akhirnya wujud tanda-tanda kesediaan untuk kembali berbincang dan membina semula hubungan.

Perkembangan ini memberi harapan baharu kepada akar umbi yang selama ini mengimpikan penyatuan semula.

Namun begitu, amat mengecewakan apabila sekali lagi keputusan berubah di saat-saat akhir. Apa yang diharapkan sebagai jalan kembali kepada perpaduan akhirnya dilihat bertukar menjadi satu lagi pengulangan kepada kesilapan lama.

Keputusan sebegini menimbulkan kekecewaan kerana ia seolah-olah mengabaikan suara akar umbi Pas yang telah lama mengharapkan penyatuan.

Dalam konteks ini, persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa kita menyeru kepada perpaduan, tetapi apabila pintu perpaduan mula terbuka, Pas sendiri memilih untuk menjauhkan diri.

Mengapa Pas mengajak pihak lain untuk menyahut seruan penyatuan ummah tetapi apabila mereka mula menunjukkan kesediaan keputusan yang dibuat akhirnya mengecewakan ahli sendiri?

Bagi sebahagian ahli Pas, keputusan sebegini sukar difahami. Mereka melihatnya sebagai tidak selari dengan seruan al-Quran yang menuntut umat Islam bersatu dan mengelakkan perpecahan.

Mereka juga melihatnya sebagai keputusan yang berpotensi melemahkan kedudukan politik umat Islam dan Melayu dalam jangka panjang.

Perlu ditegaskan bahawa perpaduan bukan bermaksud menghapuskan perbezaan. Pas dan UMNO tentu mempunyai sejarah, budaya politik dan pendekatan yang berbeza.

Namun, perbezaan itu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama strategik apabila berhadapan dengan kepentingan yang lebih besar.

Dalam politik Islam, maslahah yang lebih besar perlu diutamakan berbanding kepentingan kelompok atau percaturan jangka pendek.

Isu syura dan ketekalan keputusan politik

Lebih membimbangkan ialah apabila keputusan politik dilihat tidak konsisten dengan proses syura yang menjadi asas penting dalam tradisi gerakan Islam.

Dalam sebuah organisasi Islam, Majlis Syura bukan sekadar institusi formal tetapi lambang kepada disiplin membuat keputusan yang berasaskan ilmu, pertimbangan syarak, kebijaksanaan kolektif dan tanggungjawab jamaah.

Sebelum ini, pelbagai hujah dan bukti dikemukakan mengenai tindakan Bersatu yang dianggap merugikan atau mengkhianati kepentingan Pas.

Perkara tersebut dibawa kepada Majlis Syura bagi membolehkan satu keputusan dibuat berhubung kedudukan kerjasama politik dengan Bersatu. Hasilnya, keputusan dibuat bahawa tiada lagi hubungan kerjasama dengan Bersatu.

Justeru apabila pendirian tersebut berubah dalam tempoh yang sangat singkat, timbul persoalan besar dalam kalangan ahli mengenai kedudukan sebenar keputusan Majlis Syura.

Jika keputusan yang telah dibuat melalui saluran syura boleh diubah dengan begitu cepat tanpa proses rujukan yang jelas, bagaimana ahli di bawah hendak memahami nilai dan autoriti syura dalam parti?

Persoalan ini penting kerana keyakinan ahli terhadap pimpinan bukan sahaja bergantung kepada keputusan yang dibuat, tetapi juga kepada proses bagaimana keputusan itu dicapai. Keputusan yang tidak dijelaskan dengan baik akan melahirkan kekeliruan.

Kekeliruan pula akan menimbulkan keresahan. Jika keresahan ini berterusan, ia boleh menjejaskan kepercayaan ahli terhadap institusi dalaman parti.

Dalam politik Islam, syura tidak boleh dilihat sebagai formaliti. Syura mesti dihormati sebagai mekanisme membuat keputusan yang sah dan berwibawa.

Jika keputusan besar boleh berubah hanya berdasarkan pandangan individu tertentu atau pertimbangan politik semasa tanpa rujukan yang jelas kepada syura, maka nilai syura itu sendiri akan dipersoalkan.

Kesan terhadap moral dan kepercayaan akar umbi

Akar umbi merupakan nadi kepada mana-mana parti politik. Mereka yang bekerja di bawah, menyantuni pengundi, mempertahankan parti di lapangan dan menanggung beban emosi akibat keputusan pimpinan. Oleh itu, suara mereka tidak wajar dipandang kecil.

Apabila keputusan besar dibuat secara mengejut, akar umbi menjadi pihak yang paling terkesan. Mereka perlu menjelaskan keputusan tersebut kepada masyarakat sedangkan mereka sendiri kadangkala tidak diberikan kefahaman yang mencukupi. Mereka diminta taat tetapi dalam masa yang sama hati mereka penuh dengan tanda tanya.

Ketaatan ahli bukanlah lesen untuk mengabaikan keresahan mereka. Dalam organisasi Islam, ketaatan perlu dibina atas kefahaman, kepercayaan dan keyakinan.

Jika keputusan sering berubah tanpa penjelasan yang kukuh maka ketaatan ahli akan berubah menjadi ketaatan yang berat, hambar dan penuh keterpaksaan.

Lebih membimbangkan, keputusan yang tidak konsisten boleh menimbulkan persepsi bahawa hala tuju perjuangan tidak lagi dipandu oleh prinsip, tetapi oleh strategi politik yang berubah-ubah.

Persepsi sebegini amat berbahaya kerana ia boleh melemahkan semangat perjuangan dan menjejaskan imej parti di mata penyokong sendiri.

Perpaduan ummah tidak boleh dijadikan sebagai slogan bermusim. Ia tidak wajar diangkat ketika diperlukan dan diketepikan apabila tidak lagi menguntungkan dari sudut percaturan politik.

Jika perpaduan benar-benar menjadi prinsip perjuangan maka ia mesti dipertahankan dengan konsisten, walaupun prosesnya sukar dan menuntut pengorbanan.

Seruan kepada penyatuan Pas dan UMNO bukanlah semata-mata kerana kedua-duanya parti Melayu-Islam tetapi kerana penyatuan itu dilihat mampu membina kestabilan politik yang lebih kukuh untuk mempertahankan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan institusi negara.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, kestabilan politik Melayu-Islam memberi kesan langsung kepada keseimbangan politik nasional.

Namun begitu, perpaduan juga memerlukan kejujuran. Ia tidak boleh dibina atas asas curiga yang berpanjangan, rundingan separuh hati atau keputusan yang berubah-ubah. Jika Pas benar-benar mahu membawa agenda penyatuan ummah, maka keputusan politiknya perlu mencerminkan kesungguhan tersebut.

Begitu juga sekiranya hubungan dengan Bersatu telah dinilai bermasalah sehingga keputusan dibuat untuk tidak meneruskan kerjasama maka perubahan pendirian selepas itu perlu dijelaskan dengan sangat teliti.

Ahli berhak mengetahui apakah asas perubahan tersebut, sama ada ia berpunca daripada pertimbangan syarak, strategi pilihan raya, kepentingan organisasi atau tekanan politik tertentu.

Keperluan muhasabah kepimpinan

Dalam keadaan ini, pimpinan Pas perlu melakukan muhasabah yang jujur. Kritikan daripada ahli-ahli tidak wajar dilihat sebagai penderhakaan atau penentangan tetapi sebagai tanda kasih kepada perjuangan.

Ahli-ahli yang menegur bukan semestinya mahu melemahkan parti, sebaliknya mahu memastikan parti tidak tergelincir daripada prinsip yang selama ini diperjuangkan.

Pimpinan juga perlu menyedari bahawa keputusan politik yang besar memerlukan penerangan yang besar. Jika perubahan pendirian berlaku maka perubahan itu mesti dijelaskan secara menyeluruh.

Jangan biarkan ahli membuat andaian sendiri. Jangan biarkan lawan politik mengambil kesempatan daripada kekeliruan dalaman. Jangan biarkan akar umbi terus tertanya-tanya tanpa jawapan.

Keutuhan parti bukan hanya bergantung kepada kekuatan jentera tetapi juga kepada kejelasan fikrah dan ketekalan prinsip. Tanpa kejelasan, ahli akan keliru. Tanpa ketekalan, rakyat akan hilang percaya. Tanpa kepercayaan, parti akan lemah dari dalam.

Akhirnya, persoalan utama yang perlu dijawab ialah adakah kita mahu mengulangi kesilapan yang sama sekali lagi?

Jika dahulu Pas telah melihat kesan buruk akibat perpecahan, mengapa jalan yang sama mahu ditempuh semula? Jika dahulu Pas pernah membina jambatan perpaduan dengan UMNO mengapa jambatan itu mahu dirobohkan sebelum ia benar-benar kukuh?

Jika dahulu Pas menegaskan kepentingan syura, mengapa keputusan besar dilihat berubah tanpa rujukan yang jelas kepada institusi syura?

Perjuangan Islam menuntut hikmah, kesabaran, ketekalan dan keberanian untuk mengutamakan maslahah yang lebih besar. Dalam keadaan politik yang semakin mencabar, umat Islam dan bangsa Melayu memerlukan kesatuan yang tulen, bukan perpecahan yang berulang.

Mereka memerlukan kepimpinan yang jelas, bukan keputusan yang berubah-ubah. Mereka memerlukan hala tuju yang berpaksikan prinsip, bukan strategi yang mengelirukan.

Kembalilah kepada asas perpaduan. Kembalilah kepada semangat Muafakat Nasional yang pernah menyatukan hati umat Islam di peringkat bawah.

Kembalilah kepada prinsip syura yang menjadi maruah gerakan Islam. Kembalilah kepada perintah ALLAH SWT yang menyeru umat Islam supaya berpegang teguh kepada tali ALLAH dan tidak berpecah-belah.

Perpaduan adalah tuntutan besar dan dalam suasana politik hari ini mengulangi kesilapan yang sama bukan sahaja merugikan parti, tetapi boleh merugikan umat.

*Pendukung Pas,Temerloh, Pahang.