KAJANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar Cheras di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.01 malam selepas mangsa disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa sedang mandi di bilik air rumahnya sebelum dipercayai terjatuh dan mengalami kecederaan.
"Mangsa kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Naazron berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM bagi tujuan bedah siasat.
"Punca kematian mangsa masih dalam siasatan, kes disiasatmengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta mengklasifikasikan kes sebagai laporan mati mengejut," katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236 bagi membantu siasatan.
"Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan memastikan keselamatan anak-anak sentiasa diberi perhatian walau di mana mereka berada.
"Sebarang kecemasan boleh disalurkan menerusi talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243," ujarnya.