Lima dokumentari etnik minoriti perkukuh perpaduan nasional

Iklan
Riza Imran berkata, dokumentari berkenaan akan memfokuskan kepada komuniti etnik minoriti di Sabah dan Sarawak yang mempunyai keunikan dari segi budaya, adat resam, bahasa serta warisan.

KUALA LUMPUR – Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding tenaga menerbitkan lima dokumentari khas mengenai etnik minoriti di Sabah dan Sarawak dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional serta meningkatkan kefahaman rakyat terhadap kepelbagaian budaya negara.

Inisiatif yang digerakkan oleh Pertubuhan Masyarakat Cakna Harmoni (MYCAKNA), Pertubuhan Masyarakat Insaniah dan Inklusif (PERMAIDANI), Pertubuhan Peduli Masyarakat Sejahtera (PERMAS), Pertubuhan Anak Muda Ikatan Rakyat Selangor (AMIR) dan Pertubuhan Mestika Santuni Masyarakat (MESTIKA) itu dilaksanakan menerusi Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) Kementerian Perpaduan Negara.

Iklan
Iklan

Pengerusi Pertubuhan Masyarakat Cakna Sejahtera, Riza Imran Abd Razak berkata, dokumentari berkenaan akan memfokuskan kepada komuniti etnik minoriti di Sabah dan Sarawak yang mempunyai keunikan dari segi budaya, adat resam, bahasa serta warisan, termasuk etnik Rungus, Dusun Liwan, Dusun Bundu, Dusun Lotud, Kiput, Berawan, Sihan, Lun Bawang dan Narum.

Beliau berkata, setiap pertubuhan akan memberi tumpuan kepada satu kumpulan etnik tertentu dengan pendekatan dokumentari yang autentik dan berasaskan pengalaman sebenar komuniti bagi memperkenalkan sejarah, identiti serta sumbangan mereka kepada negara.

Iklan

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menegaskan bahawa kepelbagaian kaum dan budaya merupakan kekuatan utama Malaysia yang perlu dipelihara, terutama dalam suasana geopolitik dunia yang semakin mencabar.

Katanya, perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum menjadi semakin penting kerana negara akan terus kukuh sekiranya rakyat kekal bersatu dan tidak membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan.

Iklan

Menurut Riza Imran lagi, dokumentari tersebut berfungsi sebagai “arkib perpaduan rakyat” yang mendokumentasikan kisah komuniti minoriti yang kurang mendapat perhatian arus perdana walaupun memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti Malaysia.

"Penerbitan dokumentari ini bukan sekadar rakaman visual, sebaliknya menjadi platform untuk masyarakat memahami realiti kehidupan komuniti pedalaman serta menghargai keunikan budaya yang semakin berdepan cabaran perubahan zaman," katanya.

Kerjasama lima NGO berkenaan turut memperlihatkan model kolaborasi masyarakat sivil yang matang apabila mereka berkongsi pengalaman, kepakaran dan sumber bagi memastikan impak yang lebih besar terhadap usaha memupuk perpaduan.

Beliau percaya, penerbitan dokumentari tersebut mampu mengurangkan prasangka dan salah faham antara masyarakat sekali gus membuktikan bahawa setiap komuniti, tanpa mengira saiz dan lokasi, mempunyai peranan penting dalam naratif perpaduan dan pembangunan negara.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pula berpandangan bahawa perpaduan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan nasional yang penting bagi menjamin kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.