AMPANG - Tindakan seorang warga Bangladesh menggunakan motosikal milik majikannya yang telah diubah suai untuk mengangkut ayam membawa padah apabila ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) Bilangan 3/2026 di Taman Rekreasi Kampung Tasik Tambahan di sini pada Khamis.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu didapati menunggang motosikal yang telah dipasang struktur khas bagi membawa muatan ayam untuk tujuan perniagaan.
"Lelaki itu mendakwa sebelum ini bekerja sebagai kontraktor, namun gajinya tidak dibayar oleh majikan terdahulu.
"Ketika ini saya bekerja di sebuah pasar dengan pendapatan RM1,800 sebulan. Saya diarahkan oleh majikan untuk menghantar bekalan ayam ke sebuah kedai sebelum ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, hasil pemeriksaan mendapati penunggang terbabit memiliki lesen memandu yang sah.
"Bagaimanapun kenderaan berkenaan telah disalahgunakan apabila Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian digunakan untuk menjalankan aktiviti perdagangan.
Hamidi berkata, motosikal itu antara 43 kenderaan disita dalam Op PeWA tersebut.
"Operasi yang bermula kira-kira jam 7.30 pagi itu dilaksanakan hasil risikan selama seminggu susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan warga asing memandu kenderaan tanpa lesen serta menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan," katanya.
Menurutnya, sebanyak 83 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 43 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan teknikal.
"Individu yang ditahan melibatkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan India.
“Pemeriksaan memberi tumpuan kepada kesalahan lesen memandu, cukai jalan, perlindungan insurans serta pematuhan spesifikasi teknikal kenderaan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 199 notis saman turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.
"Daripada jumlah kenderaan yang disita, 12 didapati milik warga tempatan yang disewakan dengan kadar antara RM400 hingga RM500 sebulan kepada warga asing untuk tujuan perniagaan.
"Kesemua kenderaan itu melibatkan empat kenderaan roda tiga dan lapan motosikal biasa yang digunakan untuk pelbagai jenis perniagaan termasuk menjual besi buruk, aiskrim, jajan, roti, barangan lusuh dan ayam," katanya.
Beliau menegaskan pemilik kenderaan berdaftar tidak boleh membenarkan warga asing memandu kenderaan mereka tanpa lesen yang sah atau menyalahgunakan lesen kenderaan bagi tujuan komersial.
"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang didapati terlibat termasuk penyitaan kenderaan sehingga proses perundangan selesai.
“Warga asing yang memandu tanpa lesen atau lesen vokasional yang sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya.