Peniaga durian jual serendah RM1.30 sekilo, harga rawak ditentukan dalam live

Iklan
Pelanggan mengangkat jari telunjuk sebagai simbolik RM1. - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

TUMPAT – Lambakan durian musim ini memberi rezeki kepada pencinta raja buah apabila dijual pada harga serendah RM1.30 sekilogram sehingga menarik kehadiran ratusan pelanggan ke Semat Jal, Wakaf Bharu di sini pada Khamis.

Lebih menarik, peniaga buah, Shahmiazani Mohd Tanazi, 33, bukan sahaja menawarkan harga luar biasa murah, malah menceriakan suasana dengan permainan spontan bersama pelanggan bagi menentukan harga jualan hari berikutnya.

Iklan
Iklan

Shahmiazani yang turut membuat sesi siaran langsung secara dalam talian di lokasi jualan dan memilih seorang pelanggan secara rawak untuk bertanya berapa biji durian yang mahu dibeli bagi menentukan harga jualan durian hari esok.

“Tadi pelanggan terpilih jawab 11, jadi esok harganya RM1.10 sekilogram, lebih murah dari harga RM1.30 sekilogram hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Shahmiazani (kiri) membantu mengangkat durian yang dibeli oleh pelanggan. - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Shahmiazani, konsep jualan durian murah dengan pelbagai mainan teka teki itu sudah dilaksanakan sejak lebih 12 tahun lalu bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati raja buah tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.

Iklan

“Kami buat jualan murah macam ini dengan bekalan durian diambil dari beberapa negeri termasuk Kelantan, Perak dan Johor.

“Setiap hari 4 tan durian jenis D24, Udang Merah, IOI, Tekka, Hor Lor atau Kampung habis dijual dengan harga murah tersebut manakala ada juga durian dijual dengan harga lebih tinggi mengikut jenis,” katanya.

Katanya, walaupun dijual murah, kualiti buah tetap diberi perhatian kerana pelanggan pasti tidak akan kembali sekiranya durian yang dijual tidak memuaskan.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mat Hussin Senik, 61, berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli durian berikutan harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding kebiasaan.

Orang ramai yang memilih durian murah yang dijual.- Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

“Saya beli untuk makan bersama keluarga dan buat pulut durian. Memang murah dan berbaloi,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Mohd Nor Ibrahim, 70, berkata, lambakan durian pada musim ini memberi peluang kepada orang ramai menikmati raja buah pada harga yang sukar diperoleh di tempat lain.

Seplastik durian yang dibeli dengan harga RM1.30 sekilogram. - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

“Biasa ada juga tempat lain jual murah tetapi di gerai ini hampir setiap hari murah.

“Itu yang kami sanggup beratur panjang,” katanya.