Wanita bergelut dengan peragut ketika solat Subuh di masjid

Iklan
Seorang wanita kerugian kira-kira RM5,000 selepas beg tangannya dilarikan seorang lelaki ketika sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjidSeorang wanita kerugian kira-kira RM5,000 selepas beg tangannya dilarikan seorang lelaki ketika sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid.

GEORGE TOWN – Seorang wanita kerugian kira-kira RM5,000 selepas beg tangannya dilarikan seorang lelaki ketika sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Jalan Kapitan Keling di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun yang berada di ruang solat wanita menyedari perbuatan suspek yang cuba melarikan beg tangannya sebelum bertindak menghalang lelaki berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, tindakan mangsa itu menyebabkan berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka.

“Bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri bersama beg tangan milik mangsa.

Iklan

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 8.41 pagi dan memaklumkan beg tangannya telah dilarikan oleh seorang lelaki tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, hasil siasatan dan tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang berasal dari Batu Caves, Selangor pada hari yang sama.

Iklan

"Suspek ditahan kira-kira jam 5.27 petang di Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda di sini ketika dipercayai cuba melarikan diri dengan menggunakan perkhidmatan feri.

“Polis turut merampas barangan peribadi milik mangsa daripada suspek semasa tangkapan dibuat,” katanya.

Abdul Rozak menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

"Suspek direman tujuh hari bermula 25 Jun hingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjaga barang-barang peribadi ketika berada di tempat awam,” katanya.