IPOH – Kenderaan yang dikenakan saman di Jalan Raja Ashman Shah berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) disebabkan diletakkan di lokasi yang mengganggu laluan serta menghalang pandangan pengguna jalan raya.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, kerajaan negeri bersama pihak polis sebelum ini telah mencapai persefahaman bagi membenarkan orang awam meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran hospital tanpa dikenakan saman selagi tidak melanggar syarat ditetapkan.
Menurutnya, tindakan saman hanya dikenakan terhadap kenderaan yang diletakkan di kawasan larangan seperti berhampiran susur masuk dan keluar hospital, bulatan serta lokasi yang boleh menghalang pandangan dan pergerakan ambulans.
"Polis telah memberi kelonggaran kepada orang awam untuk parkir di bahu jalan secara teratur. Namun ada yang meletakkan kenderaan di kawasan berbahaya sehingga menyukarkan ambulans keluar masuk dan mengganggu aliran trafik.
"Jadi saya tidak menyalahkan polis apabila tindakan saman diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular seorang lelaki yang mendakwa kerajaan negeri gagal menangani masalah parkir sehingga menyebabkan pengguna dikenakan saman.
Menurut Sivanesan, HRPB yang berusia lebih 100 tahun berdepan kekangan ruang berikutan pembangunan pesat di sekeliling hospital selain perlu menampung jumlah pesakit, pelawat dan kakitangan yang tinggi setiap hari.
Katanya, hospital berkenaan mempunyai 5,135 kakitangan tetap dan kontrak manakala jumlah parkir sedia ada hanya 1,323 lot melibatkan 645 lot untuk kakitangan dan 678 lot untuk orang awam.
"HRPB merupakan hospital terbesar di Perak dengan kapasiti 1,173 katil dan kadar penggunaan mencecah 85 peratus. Setiap hari terdapat kira-kira 900 pesakit selain kehadiran pelawat yang ramai.
"Malah ada ketika doktor pakar sendiri menghadapi kesukaran mendapatkan parkir walaupun disediakan lot khas," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pelantikan sebuah syarikat bagi menguruskan parkir di HRPB.
Menurutnya, syarikat berkenaan akan menyusun semula ruang parkir sedia ada, menambah baik aliran trafik serta memperkenalkan sistem parkir mekanikal bagi meningkatkan kapasiti parkir.
"Melalui langkah itu, jumlah parkir dijangka meningkat daripada 1,323 lot kepada 1,678 lot untuk kegunaan kakitangan dan orang awam.
"Bagaimanapun, orang ramai masih boleh meletakkan kenderaan di luar kawasan hospital tanpa dikenakan saman selagi mematuhi arahan pihak polis dan tidak menghalang lalu lintas," katanya.
Sivanesan turut meminta orang ramai bersabar dan memahami kekangan yang dihadapi hospital kerajaan sambil menegaskan keutamaan sentiasa diberikan kepada pesakit serta kelancaran perkhidmatan kesihatan.
Pada awal minggu ini, seorang pengguna Facebook membuat video siaran langsung mempersoalkan tindakan saman trafik yang dikenakan ke atas kereta diparkir di Jalan Raja Ashman Shah berhampiran hospital berkenaan.