KOTA KINABALU - Pakar tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion menegaskan di Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang kesimpulan bahawa catatan emosi dalam diari yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditulis oleh individu lain.
Dalam sesi pemeriksaan balas, peguam Azhier Farhan Arisin mencadangkan bahawa tidak wujud sebarang dapatan forensik yang menunjukkan catatan dalam jurnal berkenaan ditulis oleh sesiapa selain si mati.
Saksi bersetuju dengan cadangan tersebut.
Dr Linthini juga bersetuju bahawa beliau tidak pernah menyatakan catatan berkenaan ditulis oleh individu lain selain si mati.
Dalam keterangannya, beliau menjelaskan bahawa istilah 'tidak dapat ditentukan' yang digunakan dalam laporan forensiknya bermaksud beliau tidak dapat mengenal pasti penulis berdasarkan bahan perbandingan yang tersedia, dan bukannya menunjukkan kewujudan penulis lain.
Beliau turut bersetuju bahawa istilah 'tiada kesimpulan' tidak boleh ditafsirkan sebagai penemuan bahawa catatan tersebut ditulis oleh pihak lain.
Dalam masa sama, Dr Linthini mengesahkan bahawa bagi jurnal W2 yang mengandungi catatan luahan emosi Zara Qairina, beliau mengaitkan sebahagian besar halaman kepada Zara Qairina berdasarkan analisis tulisan tangan serta tidak membuat sebarang penemuan yang menunjukkan unsur gangguan atau pemalsuan pada catatan tersebut.
Isu berkenaan menjadi antara fokus perbicaraan apabila pihak penyoal berhujah bahawa berdasarkan keseluruhan dapatan pakar.
Tiada bukti forensik yang menunjukkan catatan emosi dalam jurnal tersebut ditulis oleh individu lain, sebaliknya hanya melibatkan keterbatasan dalam menentukan penulis bagi sebahagian dokumen.
Sebelum itu, Azhier bersama rakan sepasukannya iaitu Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili empat daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina.
Inkues memasuki hari ke-77 pada Khamis, didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan dan Linthini merupakan saksi ke-74 dalam prosiding tersebut.