Dr Sam kesal isu dalaman PN dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat

Iklan
Ahmad Samsuri

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya dibawa keluar.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau kesal apabila perkara dalaman gabungan itu didedahkan kepada umum selepas mesyuarat berakhir.

Iklan
Iklan

"Saya kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir.

"Setiap parti komponen mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan serta mempertahankan pendirian masing-masing menerusi saluran rasmi mesyuarat.

Iklan

"PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama. Namun apabila sesuatu ketetapan telah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya.

"PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi PN.

Beliau berkata, watikah pelantikan calon-calon PN bagi menghadapi pilihan raya itu juga telah ditandatangani.

"Kini adalah masanya untuk semua parti komponen, kepimpinan dan jentera PN memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.

"Keutamaan kita ialah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor," ujarnya.

Mengulas mengenai penggunaan simbol PN pada PRN Johor, beliau menegaskan bahawa penggunaan simbol gabungan itu datang bersama tanggungjawab politik.

Katanya, mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi.

Terdahulu, Bersatu membantah tindakan PN menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu gabungan itu.

Ahmad Faizal menerusi satu kenyataan memaklumkan bantahan dibuat atas dasar PN sedang berdepan masalah sesama parti komponen dan penerimaan parti baharu hanya akan menyulitkan lagi masalah dalaman sedia ada.