IPOH – Kes demam denggi di Perak menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 1,248 kes direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-24 tahun ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, sebanyak 81 kes baharu didaftarkan pada ME ke-24, dengan jumlah tersebut melebihi paras median kes bagi tempoh lima tahun.
Menurutnya, peningkatan sebanyak 196 kes atau 18.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu berlaku selepas negeri itu merekodkan trend penurunan sebelum ini.
“Baru-baru ini saya membaca laporan mengenai peningkatan kes denggi di Johor. Susulan itu, saya meminta Jabatan Kesihatan Negeri Perak menyediakan laporan terkini mengenai status denggi di negeri ini.
“Hasil laporan menunjukkan berlaku peningkatan kes selepas beberapa bulan mencatatkan penurunan. Jadi, kita perlu bersedia dan mengambil langkah pencegahan lebih awal,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Sivanesan berkata, sembilan daerah melaporkan kes denggi pada minggu berkenaan, dengan daerah Kinta kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 48 kes atau 83.95 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan di negeri ini.
Menurutnya, daerah Manjung merekodkan empat kes, manakala Kerian serta Larut, Matang dan Selama (LMS) masing-masing mencatatkan dua kes.
“Daerah Bagan Datuk, Batang Padang, Hilir Perak, Hulu Perak dan Kuala Kangsar turut menunjukkan peningkatan kes,” katanya.
Sivanesan berkata, beberapa lokasi di daerah Kinta dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) denggi, termasuk Cherry Apartment yang mencatatkan 48 kes, Kampung Baru Bembang (24 kes), Kampung Tungku Hussein Hujung (15 kes) dan Kampung Temiang (10 kes).
Beliau turut memaklumkan bahawa satu kematian akibat wabak itu direkodkan tahun ini, melibatkan seorang lelaki berusia 53 tahun dari Slim River di daerah Mualim.
Katanya, mangsa dimasukkan ke Hospital Slim River sebelum meninggal dunia pada 28 Januari lalu.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengaktifkan semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mempergiatkan operasi turun padang bersama pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan menjalankan kerja pembersihan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memainkan peranan dengan memastikan kawasan sekitar rumah sentiasa bersih bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.