Agih topeng muka, sarung tangan buat barisan hadapan

Iklan
Tabung CovidSinar turut menyalurkan topeng muka dan sarung tangan kepada anggota polis dan askar yang bertugas ketika melakukan sekatan jalan raya sepanjang PKP bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

SHAH ALAM - Sebanyak 1,000 keping lagi topeng muka disalurkan kepada petugas barisan hadapan yang melakukan sekatan jalan raya (SJR) hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar).

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, selain topeng muka, sebanyak 3,000 pasang sarung tangan turut diagihkan kepada anggota polis dan askar yang bertugas di beberapa lokasi tumpuan SJR di sekitar Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan peralatan keselamatan diri petugas di barisan hadapan itu merupakan agihan kedua yang dilakukan Tabung CovidSinar selepas kali pertama sebanyak 1,000 keping topeng muka diedarkan di sekitar kawasan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, Rabu lalu.

"Kita melihat petugas barisan hadapan yang mengendalikan SJR turut berdepan risiko tinggi dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) sebagaimana petugas kesihatan.

Iklan

"Malah kami difahamkan sehingga kini seramai 66 anggota polis di seluruh negara telah disahkan positif Covid-16 sepanjang menjalankan tugas mereka dalam mengawal pergerakan orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi ini merupakan inisiatif kami (Tabung CovidSinar) dalam memastikan petugas barisan hadapan kita sentiasa berada dalam keadaan selamat ketika melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Iklan
Dua petugas Tabung CovidSinar sedang menyusun kotak yang berisi sarung tangan sebelum diagihkan kepada petugas frontliners hasil sumbangan daripada orang ramai.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Operasi dan Pengumpulan Tabung CovidSinar di Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam hari ini.

Sumbangan topeng muka dan sarung tangan telah diagihkan di SJR Subang Jaya, Kota Damansara dan juga Damansara Utama.

Dalam pada itu, Auzani turut memaklumkan bahawa Tabung CovidSinar juga telah menerima 20,000 keping lagi topeng muka hasil sumbangan orang ramai hari ini.

"Alhamdulillah hari ini, kita baharu sahaja menerima 20,000 keping topeng muka yang dihantar oleh pembekal.

"Ia bakal diagihkan kepada petugas kesihatan dan juga frontliners yang lain terutamanya pihak polis serta askar yang melakukan SJR di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin dalam membantu menyalurkan sumbangan kepada Tabung CovidSinar dan sehingga jam 8.30 malam tadi, kita telah berjaya mengumpul kutipan berjumlah RM572,980.53,” katanya.

Mengulas lanjut, Auzani berkata, selain klinik kesihatan, hospital dan petugas barisan hadapan yang melakukan SJR, Tabung CovidSinar juga bakal menyalurkan bantuan kepada Hospital Rehabilitasi Cheras yang kini menjadi pusat kuarantin bagi pesakit Covid-19.

"Tabung CovidSinar telah memperuntukkan beberapa keperluan untuk petugas kesihatan di sana termasuklah 100 topeng penutup muka N95, 200 pasang ‘isolation gown’ dan juga 600 meter ‘non woven cloth’.

"Kesemua barangan ini telah pun sediakan dan kami dimaklumkan pihak dari Hospital Rehabilitasi Cheras akan mengambilnya Isnin ini,” katanya.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar bagi membolehkan rakyat Malaysia tampil bersama-sama mengumpulkan dana untuk petugas kesihatan, sekali gus membantu meringankan beban kumpulan berkenaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.

Petugas Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian menyusun peralatan perubatan untuk diagihkan bagi membantu frontliners Covid-19.