KUALA LUMPUR - Trend kehilangan pekerjaan yang berlaku sejak Januari lalu di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal dengan kadar pengangguran masih berada di bawah empat peratus tahap guna tenaga penuh.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan, meskipun begitu kerajaan tetap memandang serius isu berkenaan termasuk membabitkan pengecilan operasi perniagaan terutama dalam keadaan ekonomi global masih tidak menentu ekoran krisis tenaga.
“Kadar pengangguran meningkat sedikit daripada 2.9 peratus pada Mac kepada 3.0 peratus pada April lalu melibatkan seramai 511,800 orang. Namun, kadar ini masih berada di bawah empat peratus, tahap guna tenaga penuh.
“Trend kehilangan pekerjaan kekal terkawal iaitu sebanyak 6,197 pekerja setakat 22 Jun lalu iaitu merangkumi sekitar 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja. Angka ini berkurang sebanyak 20 peratus berbanding 7,766 orang kehilangan pekerjaan pada Mei,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi yang diambil kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi global serta hasil pelaksanaannya setakat ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah memaklumkan, sehingga April lalu, jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta manakala penduduk bekerja meningkat kepada 16.82 juta orang.
Menurut beliau, pada masa yang sama, usaha penempatan semula pekerjaan turut menunjukkan perkembangan positif.
“Sehingga 12 Jun lalu, MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan sebanyak 55 peratus, iaitu daripada 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi 2026 adalah 62,644 orang.
“Angka ini meliputi pencari kerja melalui portal MYFutureJobs serta penerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan. Perkembangan ini menunjukkan intervensi kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, malah membantu pekerja yang terjejas untuk kembali bekerja dengan lebih cepat,” tambahnya.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, sehingga 18 Jun lalu, kerajaan meluluskan pembiayaan lebih RM700 juta kepada lebih 1,000 perindustrian kecil sederhana (PKS) dengan kira-kira RM4 bilion lagi masih tersedia untuk membantu golongan berkenaan.
Katanya, dari segi pakej daya tahan ekonomi atau Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE), sebanyak RM710 juta disediakan bagi langkah intervensi melindungi sektor pekerjaan.
"Di bawah PACE ini, lebih RM580 juta kita salurkan atau sediakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkukuh sistem insurans pekerjaan.
"Sebanyak RM100 juta disediakan untuk Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menjalankan latihan dan penempatan kerja yang disokong platform MyFutureJobs untuk membantu padanan pekerjaan," ujarnya.