Pelajar Tingkatan 2 meninggal dunia: 'Muhammad Raiyan tak sakit apa-apa, badan dia fit' - Bapa

Iklan
Pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Raiyan Nufael dilaporkan rebah sebelum meninggal dunia ketika mengikuti latihan ragbi di sebuah sekolah di Telok Mas.

MELAKA – “Dia memang tak ada sakit apa-apa, badan dia fit  walaupun baru berusia 14 tahun."

Demikian luahan Mohd Aswandi Wahid, 41, bapa kepada pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Raiyan Nufael, 14, yang meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani latihan ragbi di sebuah sekolah di Telok Mas pada petang Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Aswandi, pemergian anak sulung daripada tiga beradik itu amat mengejutkan kerana arwah sebelum ini aktif bersukan dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah kesihatan.

Suasana Jabatan Forensik Melaka pada Rabu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Tingkatan Dua rebah sebelum meninggal dunia ketika latihan ragbi

“Saya tak tahu keadaan sebenar dia, tapi yang saya nampak dia ceria setiap kali mahu pulang ke asrama kerana dapat jumpa kawan-kawannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka pada Rabu.

Iklan

Mohd Aswandi berkata, kali terakhir dia bertemu anak lelakinya itu adalah pada Ahad lalu ketika menghantarnya pulang ke asrama.

Keluarga dan kenalan menunggu proses menuntut jenazah Raiyan di Hospital Melaka pada Rabu.

Menurutnya, momen tersebut kini menjadi kenangan paling bermakna apabila mereka sempat meluangkan masa bersama menyaksikan siaran langsung perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) yang menyaksikan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli muncul juara.

“Anak saya ni, sejak dia dalam perut lagi, saya dah bawa pergi tengok MotoGP di Sepang International Circuit sejak 2011.

“Kali terakhir saya menonton MotoGP bersama arwah adalah ketika Hakim Danish muncul juara perlumbaan itu.

Mohd Aswandi (kiri) ditenangkan saudara mara dan kenalan yang hadir di Jabatan Forensik Melaka bagi proses menuntut jenazah anaknya yang meninggal dunia ketika latihan ragbi pada Rabu.

“Ketika itu, kami sama-sama menjerit kegembiraan dalam kereta sehingga bergegar dibuatnya. Itulah kenangan terakhir saya menonton perlumbaan motosikal bersama dia,” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd Aswandi berkata, arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian.

Bagaimanapun, katanya, dia menyedari satu perkara yang agak berbeza apabila Raiyan menguruskan sendiri segala persiapan untuk kembali ke asrama.

Muhammad Raiyan Nufael

“Selalunya isteri saya yang akan bantu siapkan barang-barang dia, terutama jika ada kejohanan atau perlawanan.

“Tetapi kali ini dia urus semuanya sendiri. Seawal Subuh dia sudah siap mengemas dan menyediakan semua keperluannya sebelum saya menghantarnya ke asrama,” katanya.

Mohd Aswandi berkata, Raiyan merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga menyebabkan dia dan isteri sentiasa memberi sokongan penuh terhadap minat serta aktiviti yang diceburi arwah.

Katanya, arwah mula bermain ragbi sejak sekolah rendah dan bakatnya terus berkembang hasil bimbingan guru-guru sehingga berjaya melanjutkan pelajaran di sekolah yang terkenal dengan pembangunan sukan ragbi.

“Dia memang ada bakat dalam ragbi. Cikgu-cikgu yang membentuk dan mengembangkan bakat dia.

“Di asrama pun dia memang aktif. Bila balik bercuti, dia akan berjoging, bersenam dan pergi ke gimnasium untuk menjaga kecergasan badan.

“Apa yang dia minat, saya akan cuba penuhi. Basikal, motosikal dan apa sahaja yang ada di rumah, semuanya untuk dia.

“Tapi nak buat macam mana, ALLAH lebih menyayanginya,” katanya.

Mohd Aswandi

Terdahulu, seorang pelajar Tingkatan Dua dilaporkan rebah sebelum meninggal dunia ketika mengikuti latihan ragbi di sebuah sekolah di Telok Mas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, remaja berkenaan dikatakan baharu menjalani latihan selama 15 minit sebelum mengalami sesak nafas ketika mendengar taklimat jurulatih selepas sesi rehat.

Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Lanjut selepas proses bedah siasat selesai.