PASIR MAS – Tindakan seorang lelaki melarikan diri ke dalam semak selepas kenderaannya dikejar hampir 10 kilometer oleh pasukan penguat kuasa membawa kepada penemuan 1.36 tan minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng di Kampung Kubang Panjang, Lemal di sini pada Rabu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, suspek bagaimanapun telah meloloskan diri sebaik pasukan operasi melakukan serbuan kira-kira jam 8.30 malam.
Menurut beliau, kejayaan itu hasil Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan KPDN Cawangan Pasir Mas.
"Gerakan risikan dan pemantauan bermula di sebuah premis pemborong barang kawalan di Pasir Mas sebelum pasukan mengekori sebuah Perodua Alza berpendaftaran tempatan sejauh hampir 10 kilometer.
"Pasukan kemudian berjaya menahan kenderaan terbabit di Kampung Kubang Panjang, Lemal sebelum suspek bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Ujar beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 1,360 kilogram minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk tujuan penyelewengan.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM18,400.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan," katanya.