PENJAGA gol Bosnia dan Herzegovina, Nikola Vasilj menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Qatar dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia 2026 sebagai detik bersejarah yang membawa negaranya semakin hampir melakar pencapaian terbaik dalam sejarah kejohanan itu.
Kemenangan di Seattle itu menyaksikan Bosnia menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata dan kini menunggu keputusan kumpulan lain bagi menentukan sama ada mereka berjaya meraih salah satu tiket ke pusingan 32 terbaik.
Sekiranya berjaya mara, ia bakal menjadi kali pertama Bosnia melepasi saingan peringkat kumpulan dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.
Bagi Vasilj, kejayaan itu menjadi lebih bermakna apabila disaksikan puluhan ribu penyokong Bosnia yang membanjiri stadium sehingga mewujudkan suasana seolah-olah mereka beraksi di laman sendiri.
Kira-kira 30,000 penyokong Bosnia dilaporkan hadir ke stadium selepas berarak menuju venue perlawanan, sekali gus memberikan suntikan semangat kepada pasukan.
"Selepas perlawanan, saya berhenti seketika untuk menikmati suasana di dalam stadium.
"Pada perlawanan pertama menentang Kanada, kami sudah mempunyai ramai penyokong tetapi dalam dua perlawanan terakhir saya benar-benar kagum dengan jumlah rakyat Bosnia yang hadir.
"Ia terasa seperti bermain di gelanggang sendiri," katanya.
Bosnia layak ke Piala Dunia 2026 menerusi laluan dramatik selepas menewaskan Itali menerusi penentuan penalti pada penghujung Mac lalu.
Kejohanan kali ini adalah penampilan kedua mereka di pentas Piala Dunia selepas penampilan sulung pada 2014 yang berakhir di peringkat kumpulan.
Vasilj mengakui, pasukannya mungkin tidak mempamerkan aksi terbaik ketika menentang Qatar, namun kemampuan meraih kemenangan dalam perlawanan yang sukar membuktikan karakter sebenar skuad Bosnia.
"Ini adalah detik bersejarah buat kami jika berjaya mara ke pusingan seterusnya. Ia belum pernah berlaku sebelum ini.
"Kami mungkin tidak bermain sebaik yang diharapkan, tetapi pasukan ini masih mampu memenangi perlawanan yang sukar.
"Saya amat bangga. Ini detik besar buat kami, negara kami dan seluruh rakyat Bosnia. Kini kami hanya perlu menunggu apa yang akan berlaku selepas ini," katanya.
Sementara itu, kemenangan ke atas Qatar turut menjadi detik istimewa buat kapten Bosnia, Edin Dzeko yang mencatat penampilan antarabangsa ke-150 pada usia 40 tahun.
Bekas penyerang Manchester City itu menjadi antara dua pemain yang masih kekal daripada skuad Bosnia pada Piala Dunia 2014 bersama pertahanan Sead Kolasinac.
Mengulas mengenai Dzeko, Vasilj menyifatkan veteran itu sebagai inspirasi kepada seluruh pasukan.
"Etika kerjanya luar biasa dan dia sentiasa percaya kepada pasukan ini.
"Saya sangat gembira melihatnya masih mampu menikmati detik besar seperti ini bersama kami pada usia 40 tahun," katanya.