JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja menegaskan pengalaman luasnya dalam pentadbiran kerajaan akan dimanfaatkan bagi memperkukuh agenda pembangunan negeri di bawah Maju Johor 2030.
Beliau berkata, gabungan calon berpengalaman dan muka baharu yang diketengahkan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diyakini mampu memperkasakan usaha pembangunan negeri secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi impak terus kepada rakyat.
“Terima kasih kepada Presiden UMNO, pimpinan parti serta kepimpinan negeri kerana mengetengahkan gabungan calon berpengalaman dan calon muda bagi menjayakan misi Maju Johor 2030.
"Saya yakin kombinasi ini akan mengukuhkan lagi usaha pembangunan negeri,” katanya selepas pengumuman calon di Pejabat UMNO Johor pada Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) perlu memberi manfaat secara seimbang kepada seluruh negeri, termasuk kawasan utara Johor.
“Kita mahu limpahan pembangunan ini tidak hanya tertumpu di selatan, sebaliknya turut dirasai hingga ke kawasan utara Johor,” katanya.
Mengulas cabaran PRN kali ini, Adham berkata kelebihan akan berpihak kepada calon yang mampu mendekati dan menyantuni pengundi secara konsisten.
Adham berkata, antara pencapaian yang paling dibanggakan sepanjang menjadi wakil rakyat ialah usaha memperkukuh sektor pendidikan tinggi di kawasan yang pernah diwakilinya.
“Saya juga pernah mencadangkan penubuhan universiti di Johor dan yang terbaharu membawa masuk institusi latihan kemahiran Johor (SKILL Johor) di kawasan Ladang Yayasan. Agenda memartabatkan kecemerlangan institusi pengajian tinggi memang dekat dengan saya,” katanya.