SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah dan sebuah akhbar kerajaan Negeri Sembilan membayar ganti rugi am berjumlah RM200,000 serta kos sebanyak RM35,000 kepada Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Seremban, Rosmin Adam berhubung penerbitan yang didakwa berunsur fitnah terhadap plaintif dua tahun lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menerusi sidang video yang dihadiri peguam plaintif, Muhammad Rafique Rashid Ali, Akif Rusli, Muhammad Amirul Ar Rasyid Azman dan Muhammad Faizal Abdullah.
Peguam Muhammad Rafique yang mewakili plaintif, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendengar keseluruhan keterangan saksi serta meneliti dokumen yang dikemukakan.
“Pada jam 3.15 petang hari ini, mahkamah telah memutuskan keputusan memihak kepada anak guam kami dalam tindakan saman fitnah terhadap penerbitan akhbar Negeri Kita yang merupakan lidah rasmi kerajaan Negeri Sembilan dan ketua editornya yang juga merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar.
“Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan dan autoriti undang-undang daripada kedua-dua pihak sepanjang perbicaraan penuh.
“Mahkamah telah memutuskan bahawa penerbitan yang menjadi subjek tindakan ini adalah bersifat fitnah terhadap plaintif dan bahawa pihak defendan gagal mewajarkan penerbitan tersebut melalui pembelaan yang dibangkitkan,” katanya.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu mengingatkan semua pihak bahawa setiap penerbitan, sama ada dalam bentuk media cetak, media sosial atau platform digital, hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta menghormati hak dan maruah individu lain.
Beliau turut menegaskan bahawa apa jua aset atau lidah rasmi kerajaan Negeri Sembilan tidak wajar digunakan untuk kepentingan politik mahupun sebagai senjata pena bagi menekan pihak lawan.
“Ia sewajarnya digunakan untuk menyebarkan informasi atau isu semasa yang mempunyai sumber sahih.
“Bagi pihak anak guam kami, kami merakamkan penghargaan kepada mahkamah atas pertimbangan yang diberikan terhadap fakta dan undang-undang dalam kes ini,” katanya.
Sementara itu, Rosmin ketika dihubungi meluahkan rasa syukur dan lega kerana dapat membersihkan namanya daripada fitnah berkenaan selepas kira-kira dua tahun kes tersebut berjalan.
“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH kerana memberikan kemenangan kepada saya. Kes ini sudah berjalan lebih kurang dua tahun sejak 2024.
“Saya rasa lega. Ini adalah detik manis untuk saya kerana sebelum ini saya dituduh sebagai orang yang memfitnah dan perkara itu tersebar ke seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Shahir dalam kenyataannya berkata, beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.
“Saya percaya terdapat asas fakta dan hujah yang wajar dipertimbangkan semula.
“Saya kekal berpendirian bahawa laporan yang diterbitkan dan laporan polis yang dibuat adalah berdasarkan maklumat yang dipercayai benar serta dibuat atas kepentingan awam, tanpa niat untuk memfitnah mana-mana pihak,” katanya.
Ujarnya, beliau menghormati keputusan tersebut, namun percaya ruang rayuan wajar digunakan untuk mendapatkan pengadilan yang sewajarnya.