‘Kalau bukan Zahid, siapa yang halang Onn Hafiz ke program Felda?

Iklan
Akmal Saleh

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Felda menjelaskan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor serta menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memasuki kawasan Felda.

Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menafikan mengeluarkan arahan membatalkan program berkenaan mahupun menghalang Menteri Besar Johor daripada memasuki kawasan Felda.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat pihak yang sebelum ini menuding jari kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung kontroversi tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid sendiri telah menjelaskan bahawa walaupun beliau merupakan menteri yang menyelia Felda, agensi itu masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Iklan

“Kalau bukan arahan daripada menteri penyelia iaitu Ahmad Zahid, mestilah arahan yang Felda dapat daripada orang atau pihak yang lebih atas daripada menteri penyelia, iaitu kemungkinan arahan daripada Jabatan Perdana Menteri ataupun arahan daripada Perdana Menteri sendiri.

“Ini soalan saya. Jadi, saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Ketua Pengarah Felda untuk menjawab siapa yang tak bagi (sambutan diadakan) ini. Janganlah jadi bak kata pepatah, dah baling batu, lepas itu sorok tangan. Rakyat nak tahu,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Felda Ulu Belitong, Kluang, dibatalkan dan didakwa atas arahan pihak pengurusan Felda Kebangsaan.

Program itu kemudiannya dilaporkan diteruskan dalam skala lebih sederhana menerusi Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda.

Onn Hafiz pada Selasa pula mendedahkan beliau dihalang daripada memasuki kawasan Felda bagi menghadiri majlis penyerahan geran hak milik kepada peneroka.

Keadaan itu menyebabkan majlis yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang, pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato Onn, Taman Sri Lambak, Kluang.

Terdahulu, Ahmad Zahid, seperti dilaporkan media berkata tiada sebarang arahan atau halangan untuk Onn Hafiz memasuki kawasan Felda.

Ahmad Zahid menjelaskan tindakan seperti yang didakwa Onn Hafiz itu juga tidak pernah diarahkan olehnya.

“Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan Felda,” katanya.