'Kami tidak fikir pampasan, tapi keadilan' - Ibu mangsa rempuhan Honda Jazz

Iklan
Haslinda (kiri) dan Rohani masih sukar menerima hakikat kehilangan anak mereka dalam kemalangan tragis itu.

SEREMBAN – Bukan pampasan yang diharapkan mereka, sebaliknya keadilan buat anak yang telah pergi.

Demikian luahan sayu tiga ibu kepada mangsa kemalangan maut akibat dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang di sini tahun lalu.

Iklan
Iklan

Haslinda Jupri, 45, Nurha'afza Salwa Hazizan, 42, dan Rohani Ab Ghani, 46, yang ditemui pemberita di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, nyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap hukuman yang dikenakan ke atas pemandu kenderaan terbabit, yang disifatkan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Menurut Haslinda, sehingga kini dia masih sukar menerima hakikat kehilangan anaknya, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15.

Iklan

“Saya tidak fikir soal pampasan. Apa yang saya fikirkan hanyalah keadilan untuk anak saya,” katanya.

Menurutnya, tragedi itu bukan sahaja memberi kesan kepadanya, malah turut menjejaskan emosi anak keduanya yang masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Iklan

Ujarnya, sehingga kini anaknya tidak dapat tidur lena, malah tidak mahu lagi pergi ke sekolah.

“Anak kedua saya yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mahu pergi ke sekolah dan tidurnya sering terganggu kerana teringatkan abangnya.

“Saya pun tak tahu nak buat apa lagi, tapi apa yang berlaku sangat memberi kesan kepada kami,” katanya.

Rohani pula berkata, sehingga kini fikirannya masih terganggu setiap kali mengenang kehilangan anak bongsunya, Muhammad Aswari Lotpi, 16.

“Malam tadi saya bermimpi dia pulang ke rumah dan memanggil saya ‘mama’. Saya terlalu rindukan dia,” katanya dalam keadaan sebak.

Nurha'afza (kiri) ibu kepada Aisar Azim Abdullah, 17, meluahkan rasa terkilan kerana sehingga kini keluarga pelaku masih belum memohon maaf berhubung kejadian yang berlaku.

Nurha'afza Salwa Hazizan, 42, ibu kepada Aisar Azim Abdullah, 17, meluahkan rasa terkilan kerana sehingga kini keluarga pelaku masih belum memohon maaf berhubung kejadian yang berlaku.

Terdahulu, Mahkamah Majistret memerintahkan pemandu Honda Jazz yang kini berusia 18 tahun sembilan bulan dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Selain itu, dia turut dikehendaki berada di bawah pengawasan pegawai akhlak selama setahun selepas tamat tempoh tahanan, manakala ibunya sebagai penjaga dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM4,000.

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu memandu tanpa lesen, remaja tersebut diperintahkan membayar denda RM2,000. Jika gagal berbuat demikian, dia boleh dipenjarakan selama satu bulan.

Mahkamah juga memerintahkan ibu bapanya membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa selaras dengan Seksyen 426A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Pada 6 Mac tahun lalu, media melaporkan kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan, iaitu sebuah Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario di Jalan Persiaran Senawang pada jam 8.30 malam.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada Honda Jazz yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah sebelum melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, manakala seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di sini beberapa hari selepas kejadian.