Kecekalan, ketulusan hati wanita Palestin wajar dicontohi

Iklan
Dr Fauziah (dua dari kanan) berkongsi kisah yang menjadi tamparan hebat buatnya semasa mengikuti misi kemanusiaan ke Palestin sejak 2008. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Kecekalan dan ketulusan hati wanita Palestin khususnya di Gaza wajar dijadikan contoh oleh kaum Hawa di luar sana dalam konteks terus membina kehidupan, menjaga silaturahim sesama manusia serta memelihara hubungan dengan al-Quran meskipun berdepan ujian hidup yang sangat besar.

Menerusi sesi forum ‘Women of Grit’, Presiden Asia Pacific Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (ApWCQP), Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, rakyat Palestin diasuh sejak kecil untuk memuliakan tetamu dan melayani sesama manusia dengan baik berteraskan prinsip Islam, malah kebaikannya bukan dibuat-buat.

Iklan
Iklan

Dr Fauziah sempat berkongsikan tiga pengalaman berbeza dialaminya dan rakan seperjuangan ketika mengikuti misi kemanusiaan ke Palestin sejak 2008.

Katanya, wanita-wanita di Gaza cukup menghormati tetamu, saling kasih-mengasihi, suka memberi dan sering mendahulukan keperluan orang lain berbanding diri sendiri.

Iklan

“Ada satu kisah seorang nenek yang memasak satu bubur kosong untuk cucu-cucunya dan kami semua tahu mereka miskin serta tiada makanan lain. Tapi disebabkan mereka menghormati tetamu, disuruh juga kami makan.

“Walaupun itu untuk kanak-kanak yang lapar, dia menghormati tetamu sepertimana sunnah Rasulullah SAW. Kadang-kadang kami juga nampak (didikannya) dalam kalangan kanak-kanak.

Iklan

“Ada satu ketika kami bawa coklat daripada Malaysia. Kalau dibandingkan di lain-lain tempat, budak-budak mesti berebut tapi anak-anak Gaza ini tenang sahaja dan mereka tunggu kami yang hulurkan dahulu.

“Mereka juga pastikan semua orang dapat merasa makan coklat. Ini menunjukkan mereka tidak tamak dan kenal erti memberi serta menerima walaupun dalam keadaan susah kerana daripada kecil sudah dididik begitu oleh emaknya,” kata beliau.

Women #QuranHour Summit (WQHS) 2026 dengan tema ‘Women of Grit’ diadakan bertujuan menyatakan sokongan dan solidariti kepada wanita di Gaza serta memperluaskan kesedaran mengenai perjuangan mereka dalam menuntut keadilan dan pembebasan Palestin.

Dianjurkan oleh Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) dan ApWCQP, program itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Saff Women Empowerment yang dilancarkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sempena World #QuranConvention Surah Al-Saff pada Disember 2025.

Antara panelis lain yang turut berkongsi kisah menerusi forum selama satu jam itu ialah Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM), Profesor Madya Dr Nora Mat Zin.

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa 2014, Tirmizi Ali turut mengendalikan sesi tersebut, masing-masing selaku moderator serta qari.

Sementara itu, Dr Fauziah yang merupakan pakar obstetrik dan ginekologi menceritakan pengalaman bersama seorang pemandu teksi sewaktu bersiar-siar di Gaza yang mana sehingga kini kisah tersebut menjadi tamparan hebat buatnya secara peribadi.

Kata beliau, pemandu teksi itu enggan menerima tip daripadanya atas alasan tidak mahu ada unsur rasuah dalam perkhidmatannya meskipun berkali-kali dihulurkan hanya sebagai niat ingin berterima kasih.

“Bila dah nak balik saya nak hulurlah duit lebih sikit sebagai hadiah terima kasih tetapi dia tak mahu ambil kerana sudah ada gaji. Katanya ‘kalau nak beri juga mesti tanya pada bos, kalau bos izinkan saya ambil’.

“Kejadian ini menjadi tamparan hebat buat saya sedangkan mereka sangat memerlukan duit itu. Dalam keadaan susah pun, mereka tetap berpegang pada prinsip Islam.

“Walaupun pemandu itu lelaki, siapa yang mengajarnya? Sudah tentulah ibu-ibu yang mendidik agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam,” ujarnya lagi.