SHAH ALAM - Mangsa dan suspek kes pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai saling mengenali serta mempunyai hubungan istimewa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal turut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu peribadi melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian.
ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut wanita IPTS ditemui maut di kondominium disyaki dibunuh
Menurut beliau, fokus siasatan kini tertumpu kepada seorang lelaki warga asing yang ditahan di lokasi kejadian sejurus mayat mangsa ditemukan.
“Setakat ini, tiada petunjuk yang mengaitkan individu lain dengan kejadian tersebut. Bagaimanapun, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan selesai sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, beberapa barang kes telah dirampas termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Shazeli berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak institusi berkenaan termasuk tempoh pengajian, bidang pengajian dan hubungan antara kedua-dua individu tersebut.
“Setakat ini, kita telah merakam percakapan beberapa jiran dan saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menerima maklumat kejadian pada jam 11.03 pagi sebelum menemui mangsa berusia lingkungan 20-an dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan pada tubuh.
Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.