JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa masalah gaji rendah dalam kalangan guru dan penjawat awam berpunca daripada kebocoran kekayaan negara yang berlaku selama bertahun-tahun.
Menurut beliau, sejumlah besar hasil negara mengalir keluar tanpa memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus menjejaskan keupayaan kerajaan meningkatkan kebajikan golongan pendidik dan kakitangan awam.
Prabowo berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Musyawarah Nasional Alim Ulama dan Konferensi Besar Nahdlatul Ulama 2026 di Bangkalan, Jawa Timur, pada Selasa.
“Saya mahu para ulama, guru dan pemimpin masyarakat memahami mengapa gaji guru tidak dapat ditingkatkan, mengapa gaji penjawat awam masih rendah dan mengapa peruntukan kerajaan sering tidak mencukupi. Ini kerana wang negara sentiasa bocor dan diambil,” katanya.
Menurut Prabowo, berdasarkan pengiraan kerajaan, kebocoran hasil negara dianggarkan mencecah AS$150 bilion (RM621 bilion) atau sekitar 2,500 trilion rupiah setiap tahun.
Beliau berkata, kerajaan kini berusaha menutup pelbagai ruang yang menyebabkan kehilangan hasil negara bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara.
Prabowo turut mendakwa antara punca utama ketirisan adalah kewujudan banyak syarikat milik kerajaan yang terus mengalami kerugian tetapi masih beroperasi, sekali gus menjadi beban kepada kewangan negara.
Menurutnya, beliau terkejut apabila mendapati jumlah syarikat berkaitan kerajaan atau badan usaha milik negara (BUMN) melebihi 1,000 buah.
“Saya sangka jumlah BUMN sekitar 300 syarikat sahaja. Apabila menjadi Presiden, saya baru mengetahui jumlahnya melebihi 1,000 syarikat,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa sepanjang kira-kira 20 bulan pentadbirannya, kerajaan telah menutup sekitar 240 syarikat milik negara dan menyasarkan antara 700 hingga 800 lagi syarikat yang mengalami kerugian akan ditamatkan operasi.
Selain itu, Prabowo turut membangkitkan isu amalan pelaporan nilai eksport yang lebih rendah daripada nilai sebenar atau under-invoicing oleh segelintir pengusaha.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan negara kehilangan hasil yang besar apabila jumlah eksport yang dilaporkan tidak sepadan dengan jumlah sebenar yang dijual ke pasaran antarabangsa.
Beliau mendakwa Indonesia kerugian sehingga AS$908 bilion (RM3.7 trilion) dalam tempoh 34 tahun akibat amalan tersebut, berdasarkan data yang dirujuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Prabowo menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan reformasi ekonomi bagi memastikan kekayaan negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk guru dan penjawat awam.-Agensi