Rafizi terlalu obses serang Anwar, abaikan isu rakyat - AMK

Iklan
Dzul Hilmi berkata, Rafizi kini dilihat lebih menumpukan perhatian kepada serangan politik berbanding mengemukakan idea atau formula baharu bagi membantu rakyat berdepan cabaran semasa. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Parti Kancil pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan semakin hilang arah apabila terlalu obses mengkritik dan menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengabaikan isu yang lebih penting melibatkan kepentingan rakyat.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, Rafizi kini dilihat lebih menumpukan perhatian kepada serangan politik berbanding mengemukakan idea atau formula baharu bagi membantu rakyat berdepan cabaran semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakyat hari ini tidak memerlukan politik kebencian, fitnah dan dendam peribadi, sebaliknya mahukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan serta kestabilan negara.

“Apa yang kita lihat sejak kebelakangan ini ialah Rafizi dan Parti Kancil lebih banyak menghabiskan masa menyerang Perdana Menteri berbanding mengemukakan cadangan atau formula untuk membantu rakyat.

Iklan

“Setiap hari yang kedengaran hanyalah kritikan terhadap Anwar, tetapi rakyat masih tertanya-tanya apakah tawaran sebenar Parti Kancil kepada negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Iklan

Rafizi dalam kenyataannya memaklumkan, kerusi berkenaan dipilih berdasarkan beberapa faktor penilaian yang dilakukan parti itu, termasuk tahap penerimaan penduduk setempat terhadap Bersama.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, Rafizi juga dilihat tidak memberikan perhatian terhadap pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan bagi membantu rakyat, termasuk langkah mengurangkan harga diesel serta usaha memperkukuhkan ekonomi negara.

Katanya, tindakan tersebut menunjukkan keutamaan Rafizi bukan lagi untuk mencari penyelesaian kepada masalah rakyat, sebaliknya lebih cenderung kepada politik persepsi dan serangan peribadi.

“Politik kebencian mungkin mampu mencipta tajuk berita, tetapi ia tidak akan mengisi perut rakyat, menurunkan kos sara hidup atau membawa pelaburan yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.

“Rakyat Malaysia adalah masyarakat yang matang dan bijak. Mereka mampu menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negara dan siapa yang hanya sibuk menyerang tanpa menawarkan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata, semakin kuat Rafizi menyerang Anwar, semakin jelas memperlihatkan ketandusan idea serta ketiadaan hala tuju yang jelas dalam parti tersebut.

“Hakikatnya, politik bukan tentang siapa yang paling kuat menjerit, tetapi siapa yang mampu berkhidmat dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.