RANTAU PANJANG - Seorang lelaki dipercayai menjadi ejen penyeludupan pod vape sejak dua tahun lalu dengan mengambil upah RM20 bagi setiap kotak yang diuruskan akhirnya dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan di sebuah premis di sini pada Selasa.
Suspek berusia 33 tahun itu ditahan dalam Op Taring Wawasan oleh anggota Risik dan Task Force Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas di sebuah premis di Jalan Lubok Stol di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil serbuan kira-kira jam 6 petang itu membawa kepada rampasan 1,800 pod vape pelbagai perisa bernilai RM180,000.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat aktif dalam kegiatan penyeludupan pod vape sejak kira-kira dua tahun lalu dengan bertindak sebagai ejen transit di kawasan sempadan.
"Suspek dipercayai bekerjasama dengan seorang lelaki warga Thailand yang dikenali sebagai ‘Ali’ yang membuat tempahan stok dari Kuala Lumpur sebelum dihantar ke premis berkenaan melalui perkhidmatan kurier.
"Setiap kotak pod vape yang diuruskan suspek dibayar upah sekitar RM20 sebelum ia dipercayai diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Ahmad Radzi memberitahu, kegiatan itu dipercayai didorong permintaan tinggi di Thailand yang masih mengharamkan penggunaan, pemilikan serta import dan eksport vape.
Ujar beliau, semua rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.