CRISTIANO Ronaldo melaungkan"Saya kembali!" sejurus tamat perlawanan selepas membantu Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 sambil mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.
Bintang berusia 41 tahun itu bangkit menutup mulut pengkritik yang mempertikaikan prestasinya selepas aksi hambar ketika Portugal seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo dalam perlawanan pembukaan Kumpulan K.
Ronaldo membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi penyudah kaki kanan hasil hantaran João Cancelo sebelum menambah gol kedua pada minit ke-39 selepas menerima umpanan Bruno Fernandes.
Dua jaringan itu membolehkan kapten Portugal berkenaan muncul pemain pertama dalam sejarah yang menjaringkan gol pada enam edisi Piala Dunia berturut-turut sejak penampilan sulungnya pada 2006.
Walaupun sudah lali berdepan kritikan sepanjang kariernya, Ronaldo mengakui kecaman yang diterimanya sejak seminggu lalu agak sukar untuk diharungi.
"Begitulah keadaannya selama 23 tahun. Apabila saya bermain baik, Cristiano dipuji, tetapi apabila tidak, saya dianggap sudah tua dan tidak lagi mampu bersaing.
"Hakikatnya, saya dan rakan sepasukan memberikan jawapan terbaik di atas padang seperti yang kami mahukan," katanya.
Jurulatih Uzbekistan, Fabio Cannavaro, mengakui pasukannya menerima hukuman kerana memberi ruang kepada Ronaldo di dalam kotak penalti.
"Sebagai pertahanan, anda perlu sentiasa rapat dengannya. Jika diberi ruang walaupun satu sentimeter di dalam kotak penalti, anda akan dihukum," kata bekas kapten Itali yang menjulang Piala Dunia 2006 itu.
Ronaldo kemudian dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, manakala pengendali Portugal, Roberto Martínez memuji profesionalisme anak buahnya itu yang memilih untuk membuktikan kemampuan di atas padang berbanding melayan kritikan.
"Dia juga manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan. Apa yang mengagumkan ialah cara dia bertindak balas. Dia kembali berlatih, bekerja keras dan terus meletakkan tuntutan tinggi terhadap dirinya sendiri.
"Itulah rahsia yang membolehkannya bertahan begitu lama," ujar Martinez.
Jaringan ke atas Uzbekistan turut menjadikan Ronaldo pemain kedua tertua yang pernah menjaringkan gol di Piala Dunia selepas legenda Cameroon, Roger Milla yang melakukannya pada usia 42 tahun di edisi 1994.
Tahun ini juga menyaksikan Ronaldo dan kapten Argentina, Lionel Messi muncul dua pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia.
Namun, Ronaldo berdiri sendirian sebagai pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam setiap penampilannya di pentas tertinggi bola sepak dunia itu selepas Messi gagal menemui sasaran pada edisi 2010 di Afrika Selatan.
Dua gol terbaharu itu menjadikan jumlah jaringan Ronaldo di Piala Dunia meningkat kepada 10 gol, sekali gus mengatasi rekod sembilan gol legenda Portugal, Eusébio untuk muncul penjaring terbanyak negaranya dalam sejarah kejohanan berkenaan.
Ia juga menambah koleksi rekod antarabangsanya kepada 145 gol daripada 230 penampilan bersama Portugal, kedua-duanya merupakan rekod dunia.
Piala Dunia 2026 dijangka menjadi penampilan terakhir Ronaldo di pentas terbesar bola sepak dunia selepas menikmati karier gemilang yang menyaksikannya menjulang Kejuaraan Eropah 2016 bersama Portugal serta lima gelaran Liga Juara-Juara Eropah bersama Manchester United dan Real Madrid.