ISU keselamatan pelajar di sekolah kembali menjadi perhatian selepas beberapa kejadian melibatkan pelajar terjatuh dari bangunan sekolah termasuk satu kes maut dan satu lagi kes kritikal yang masih dirawat di hospital.
Perkembangan ini tidak wajar dilihat sebagai insiden terpencil, sebaliknya ia menuntut penilaian semula secara menyeluruh terhadap tahap keselamatan fizikal dan kesejahteraan mental murid di institusi pendidikan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini telah menegaskan langkah drastik sedang diambil bagi memperkukuh sistem keselamatan sekolah, termasuk penguatkuasaan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat serta Polisi Perlindungan Murid.
Pendekatan ini bukan bersifat kosmetik, sebaliknya wajib dipatuhi semua pentadbir sekolah tanpa kompromi.
Dalam masa sama, KPM turut memperluaskan intervensi saringan kesihatan mental pelajar sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan awal.
Penekanan terhadap aspek kesihatan mental ini tidak boleh dipandang ringan. Kaunselor sekolah perlu diberi ruang dan pengupayaan lebih besar untuk mengenal pasti tanda awal tekanan psikologi dalam kalangan pelajar, seterusnya melaksanakan intervensi segera.
Dalam konteks ini, sekolah tidak lagi boleh berfungsi hanya sebagai institusi akademik semata-mata, tetapi juga sebagai pusat sokongan emosi dan psikologi pelajar.
Lebih penting, disebabkan golongan pelajar berada pada fasa perkembangan emosi yang masih rapuh, minda mereka mudah dipengaruhi persekitaran, tekanan rakan sebaya dan media sosial, selain cenderung membuat keputusan mudah ketika berdepan tekanan.
Tanpa intervensi awal, keadaan ini boleh membawa kepada rasa putus asa yang cepat dan kegagalan mereka mengurus konflik emosi secara sihat.
Masyarakat juga perlu berhati-hati daripada membuat spekulasi yang tidak sahih, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan dengan telus.
Dalam masa sama, peranan ibu bapa tidak boleh diketepikan. Pemantauan emosi anak-anak di rumah perlu bergerak seiring sistem sokongan di sekolah.
Keselamatan pelajar bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, tetapi satu ekosistem yang memerlukan kerjasama menyeluruh antara kementerian, sekolah, ibu bapa dan komuniti.