NEW DELHI – Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa serangan seksual dalam kejadian di daerah Gorakhpur, Uttar Pradesh, India.
Menurut polis, kejadian berlaku di kawasan di bawah pentadbiran Balai Polis Gulariha apabila mangsa yang sedang tidur di sebelah ibunya dilaporkan hilang kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Kehilangan bayi itu mencetuskan usaha pencarian oleh ahli keluarga dan penduduk kampung di sekitar kawasan kediaman serta ladang berhampiran.
Pada pagi Sabtu, mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari rumah keluarganya berhampiran sebuah bangsal di kawasan ladang dan mengalami kecederaan serius.
Bayi tersebut segera dibawa ke sebuah pusat kesihatan komuniti sebelum dirujuk ke Hospital Kolej Perubatan Baba Raghav Das (BRD) Gorakhpur, selepas keadaannya semakin merosot.
Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan mangsa mengalami serangan seksual dan bayi itu berada dalam keadaan kritikal, kata polis.
Semasa soal siasat, polis bercakap dengan ahli keluarga, termasuk ibu bapa dan datuk nenek kanak-kanak itu sebelum mengesyaki saudara lelaki mangsa berusia 12 tahun, yang dilaporkan tiba dari Chandigarh tiga hari sebelumnya.
Penyiasat berkata, budak lelaki itu yang ditahan pada hari Ahad pada mulanya memberikan kenyataan yang tidak konsisten tetapi kemudiannya membuat pengakuan.
"Suspek mendakwa dia mengambil minuman beralkohol dan menonton kandungan pornografi sebelum kejadian," ujarnya.
Sementara Polis Chandigarh, Nimesh Patil berkata, bayi itu kini menerima rawatan rapi selepas pemeriksaan perubatan mengesahkan berlaku serangan seksual, manakala suspek berusia 12 tahun telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. - Agensi